Amelia Henderson Tak Ambil Ubat Cerah Ketiak – “Benda Ni Buat Saya Sensitif”

Pelakon jelita, Amelia Henderson menegaskan dirinya tidak mengambil sebarang ubat-ubatan bagi mencerahkan ketiaknya.

Memetik laporan Kosmo, Amelia atau nama sebenar Amelia Thripura Henderson memberitahu tidak wajar membandingkan kecerahan bahagian tubuhnya dengan orang lain.

“Antara dua, sama ada saya menangis sebab orang tak nak tengok muka saya, mereka hanya nak tengok ketiak saya ataupun saya keluarkan produk ketiak dan saya jadi jutawan.

“Jadi, mana satu yang lagi bermanfaat buat kehidupan saya? Tetapi, saya belum ada lagi terfikir nak keluarkan produk untuk ketiak. Sebab saya rasa bab-bab kecerahan (ketiak), saya tak berapa sokong.

“Sebagai seorang yang berdarah campur, janganlah bandingkan kecerahan saya sebab memang saya tiada makan ubat atau buat apa-apa untuk memiliki ketiak putih,” katanya.

Menurutnya, dia mengakui agak sensitif dengan perkara ini namun memilih untuk fokus kepada perkara yang positif.

“Kita patut sayangi diri kita walau macam mana sekalipun. Benda ini kadang-kadang membuatkan saya sensitif tapi saya perlu paksa otak saya fokus kepada perkara yang positif.

“Saya dah berada dalam industri sangat lama. Dah macam-macam saya dengar bukan sahaja pasal diri sendiri tetapi pasal keluarga.

“Tetapi, komen orang saya tidak peduli sangat selagi mereka tak sentuh keluarga atau kawan-kawan saya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Amelia mencuri perhatian netizen apabila ramai memuji ketiaknya yang cerah menerusi video-video yang dikongsi di TikTok.

Sumber: Kosmo

Maya Basir