Rizky Billar Akhirnya Ditahan, Dakwa Lesti Kejora Akan Tarik Balik Laporan Polis

Rizky Billar secara rasmi ditahan hari ini selepas disahkan sebagai suspek kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan oleh Lesti Kejora.

Ketika dibawa di hadapan kru media, Rizky Billar  yang memakai pakaian penjara berkata isterinya akan menarik balik laporannya mengenai keganasan rumah tangga.

“Isteri saya mau cabut laporan,” ujar Rizky Billar.

Sehubungan dengan berita Lesti Kejora akan menarik balik laporan, polis berkata mereka tidak mahu membuat andaian.

Ketua Perhubungan Awam Polda Metro Jaya, Kombes Pol E Zulpan berkata, pihaknya masih menunggu hasil siasatan.

“Kami tidak bisa berandai-andai. Sampai dengan saat ini kami masih lakukan proses penyidikan (penyiasatan),” kata Kombes.

Rizky Billar akan ditahan selama 20 hari supaya dia tidak melakukan keganasan terhadap Lesti Kejora.

“Siang tadi penyiasat telah mengambil kira pertimbangan untuk menahan suspek, salah satunya supaya suspek tidak mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa,” katanya lagi.

Memetik laporan Detik, polis juga mendedahkan bahawa Rizky Billar sedang mencari jalan damai. Bagaimanapun, polis menyatakan Rizky Billar mempunyai unsur yang cukup untuk menjadi suspek keganasan rumah tangga dan telah ditahan.

“Billar tidak mengalami sebarang masalah kesihatan, manakala pihak berkenaan masih berusaha mencari jalan penyelesaian secara aman.

“Tetapi kita berdasarkan laporan mangsa berkaitan keganasan rumah tangga bahawa unsur jenayah itu dipenuhi. Ini menyebabkan orang terbabit dinamakan sebagai disyaki dan ditahan,” ujar Kombes.

Menurut Kombes lagi, pihak polis juga telah menjalankan ujian air kencing ke atas Rizky Billar dan keputusannya disahkan negatif.

“Bukan di bawah pengaruh alkohol atau dadah seperti biasa. Ia telah diuji untuk air kencing,” tambahnya.

Sehingga kini difahamkan siasatan masih diteruskan dan penyiasat akan melengkapkan fail pemeriksaan Rizky Billar.

Sumber: Detik

Khairil Khusyairi