Anak & Menantu Zainal Abidin Sah Bercerai Talak Satu Selepas 6 Bulan Gantung Tak Bertali –  “Harap Dia Tak Abai Nafkah”

Konflik rumah tangga anak bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan iaitu Mohd Zaiza dan isterinya, Suzur Sofia akhirnya terlerai selepas sah bercerai talak satu sebentar tadi.

Memetik laporan mStar,  Sofia meluahkan rasa lega kemelut antara mereka akhirnya selesai selepas enam bulan gantung tidak bertali.

“Sudah enam bulan berlarutan kes cerai ini dan akhirnya lega ia sudah selesai. Bagi saya hal ini mudah sahaja sebab masalah antara kami sudah lama berlaku, jadi apabila setuju hendak cerai semua dapat diselesaikan.

“Dalam perbicaraan sebelum ini pun hakim sudah memaklumkan berlaku shiqah (perbalahan berpanjangan) antara kami berdua,” ujarnya.

Sementara itu, Sofia mengakui kecewa apabila bekas suaminya itu tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa dengan baik kerana mengabaikan nafkah serta yuran sekolah anak-anak mereka.

Menerusi laporan berita mStar, kedua-dua pasangan ini bertengkar ketika berbincang mengenai hal nafkah anak-anak.

Menurut Sofia, dia sedia membantu bekas suaminya sekiranya mempunyai sebarang masalah, namun berharap agar Zaiza dapat memberi kerjasama antara mereka untuk berkomunikasi.

“Saya tiada masalah untuk kami sama-sama mendapatkan hak pengajaan anak. Kalau saya cuti anak boleh bersama saya. Tetapi dia tidak memberi kerjasama baik.

“Saya pun tak mahu pisahkan anak-anak dengan bapa mereka. Kami juga ada anak perempuan dan dia perlukan seorang wali jika ingin berkahwin nanti.

“Cuma dua perkara yang saya minta, jalankan tanggungjawab terhadap nafkah anak dan beri maklumbalas segera sekiranya ada sebarang masalah.

“Kalau ada masalah boleh beritahu saya. Tidak perlu tunggu sampai pihak sekolah hubungi maklumkan yuran tertunggak.

“Saya bercakap kepada media bukan untuk mencari populariti tetapi inilah caranya untuk sampaikan kepada dia (Zaiza) sebab sebelum ini dia lambat dalam memberi maklum balas tentang anak,” jelasnya.

Sekadar info, Sofia dan Zaiza berkahwin pada 15 Januari 2016 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Muhammad Zaynedine Sulaiman, 6, dan Seri Zayana, dua tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia Cakap Nak Gantung Saya Tak Bertali” – Enggan Lafaz Cerai, Anak Zainal Abidin Hassan Letak 4 Syarat Terhadap Isteri

ARTIKEL BERKAITAN: “Memang Patut Bapak You Mati” – Menantu Bengang Dengan Anak Zainal Abidin, Dedah Suami Ditanggung Bapa Mentua?

sumber: mStar

Aqilah Paharuzi