Anak Rahmad Mega Terima Ijazah Sarjana, Netizen Puji Kacak Macam Papa!

Pemenang program Terpaling Juara, Rahmad Mega menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan anak lelakinya, Suhazri Amrin yang telah menamatkan pengajian dalam bidang Sains dan berjaya meraih ijazah sarjana di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Rahmad di laman Instagram, dia mengucapkan tahniah kepada anaknya itu dan berdoa semoga Suhazri terus berjaya.

“Tahniah buat anakanda Suhazri kerana telah berjaya menyelesaikan Master in Science di UMP. Papa doakan semoga terus berjaya,” tulis Rahmad di ruangan kapsyen.

Pelantun lagu Takdir dan Waktu itu juga memuat naik video sekitar majlis konvokesyen Suhazri yang memaparkan anak lelakinya itu menerima ijazah di UMP, Pahang.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengucapkan tahniah kepada Suhazri kerana bukan mudah untuk menggenggam ijazah sarjana pada usia yang muda.

Bukan itu sahaja, ada juga wargamaya memuji cara didikan Rahmad yang berjaya membentuk semua anaknya menjadi seorang yang bijak dan warganet mendoakan agar anaknya terus berjaya di dunia dan akhirat.

Selain itu, netizen turut memuji rupa paras Suhazri yang kacak seperti Rahmad.

Halimey Zamal