Anak Syurga Zarina Zainuddin Dicop Gila Di Wikipedia! Netizen Label Pelaku Busuk Hati & Minta Buat Laporan

Baru-baru ini, pelakon Zarina Zainuddin meluahkan rasa sedih apabila ada individu yang menulis mengenai anak istimewanya, Azal sebagai orang gila di laman Wikipedia.

Menerusi hantaran Instagramnya, Zarina menyatakan bahawa anaknya sendiri yang menunjukkan laman web tersebut kepadanya dan dia mengaku terkedu melihat maklumat palsu yang ditulis mengenai anaknya.

“Azal hantar pada saya… ibu ada orang tulis di Wikipedia kata Azal gila, ibu tengok ni.

“Saya yang baca jadi terkedu sekejap… saya peluk dia saya kata Azal tak gila, Azil tak gila, Azal dan abang Azil anak istimewa… anak ibu,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Malah, Zarina turut memujuk hatinya dan anak dengan berserah kepada Allah SWT dan meminta anaknya untuk tidak bersedih.

“Allah ada, biar orang kata apa Allah ada… kalau Azal sayang ibu jangan sedih tau,” luah Zarina.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet turut meluahkan rasa geram terhadap tindakan biadap individu terbabit.

Bukan itu sahaja, ramai dalam kalangan artis juga meninggalkan komen, menzahirkan rasa bengang mereka mengenai maklumat palsu yang ditulis di laman Wikipedia tersebut.

Untuk info, Zarina mempunyai sepasang kembar anak lelaki yang menghidap autisme iaitu Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan (Azal) dan Muhammad Razil Azrai Abu Raihan (Azil).

Atiqah Johari