Anggap Anak Tiri Sebagai Amanah, Issey Balas Komen Negatif Netizen

Perbuatan menjengkelkan dari seorang invidu yang meninggalkan komen di Instagram milik isterinya, membuatkan pelakon, pelawak dan penyampai radio, Issey Fazlizham terpanggil untuk memberikan komen balas terhadap individu tersebut. 

Issey memuat naik tangkapan skrin komen negatif yang dibuat oleh individu itu di akaun instagram isterinya, @aimi_jamel menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya.  

“Kesiannya Issey kena tanggung tiga orang anak tiri,” tulis individu tersebut sambil menggunakan emoji ketawa. 

Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin (33) membalas komen negatif itu dengan mengatakan anak-anak ini merupakan amanahnya selepas bapa mereka meninggal dunia akibat kemalangan. 

“Lagi gembira ada lah sis…Papa mereka ni meninggal dunia dalam kemalangan.  Sekarang Allah amanahkan Issey untuk jaga mereka.

“Doakan Issey jadi daddy yang terbaik untuk mereka ye? huhu

“Ni komen dekat IG wife Issey. Biarlah orang nak kata apa @aimi_jamel. Janji awak tetap my Stephen Chow,” tulisnya.

Rata-rata ramai yang menyokong Issey termasuklah rakan-rakan selebriti seperti Fadd Bocey, Izzue Islam, Feeya Iskandar dan ramai lagi. 

Issey menamatkan zaman dudanya dengan mengahwini bekas rakan sekolahnya, Noor Aimi Mohamed Jamil pada 22 Disember lalu.

Baca: Nikah Teman Lama, Issey Akhiri Zaman Duda

Terdahulu, Issey pernah mendirikan rumah tangga dengan Syuhadaa Syafiqqa Abdul Rashid pada 2015 tetapi berpisah setahun kemudian dan mereka tidak mempunyai cahaya mata. 

Baru-baru ini, Issey telah memuat naik entri di mana dia teruja untuk menggalas tanggungjawab baharu sebagai bapa dengan menghantar anak-anak tirinya ke sekolah pada hari pertama persekolahan. 

Baca: Issey Tiada Masalah Jadi ‘Bapa Segera’

Kredit Foto: Instagram @isseyfazlisham

Del14