Anggun! Watie Hanifiah Kelihatan Manis Di Majlis Khatam Al-Quran, Namun Ada Netizen Beri Komen Mengenai Solekan

Tinggal beberapa hari sahaja lagi pelawak popular Shuib bakal mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihannya, Watie Hanifiah selepas mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu.

Bakal melangsungkan pernikahan pada 23 Jun ini, pasangan ini mengambil kesempatan untuk mengadakan Majlis Khatam al-Quran, hari ini.

Menerusi perkongsian di Instagram, pasangan ini tampil segak dengan menyarungkan busana serba ungu lembut di majlis yang dihadiri oleh keluarga dan sahabat terdekat kedua-dua belah pihak. 

Netizen turut memuji kejelitaan dan seri pengantin yang terpancar di wajah Watie.

Namun begitu, ada juga yang mempersoalkan tatarias Watie kerana rata-rata netizen mengkritik solekan usahawan tersebut.

Di ruangan komen, ada yang mendakwa solekan yang dikenakan Watie pada majlis tersebut tidak bersesuaian.

Ada juga yang tampil menegaskan mungkin bukan solekan yang keterlaluan tetapi ia disebabkan oleh suntingan foto.

Untuk info, Shuib dan Watie mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu dalam satu majlis tertutup.

Shuib pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwau Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan 2.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19.

Kredit foto: CST Production

Khairil Khusyairi