Angkat Budaya Adat Perpatih, Teater Tanjong Bakal Dipentaskan Di Istana Budaya September Ini!

Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan, bakal mementaskan teater Tanjong di Istana Budaya sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada September hadapan.

Teater yang bakal menampilkan pelakon hebat Datuk Jalaluddin Hassan dan Kartunis Ujang itu kan dipentaskan pada 9 hingga 11 September 2022 ini.

Menurut pengarah teater Prof Dr. Ahmad Rashidi Hasan, selain memartabatkan seni teater yang kian pudar, naskah sulungnya ini turut mengangkat budaya adat perpatih untuk mendidik masyarakat.

“Pementasan ini adalah bertujuan untuk memberikan wadah buat anak muda dan kanak-kanak khususnya komuniti ASAR untuk melakukan aktiviti bermanfaat, menyemai minat melakukan aktiviti keseniaan, membentuk keyakinan diri selain mempertunjukkan kisah Adat Perpatih kepada masyarakat am.

“Sebahagian keuntungan daripada teater ini juga disalurkan bagi membantu keluarga dan pendidikan anak-anak ASAR dan yang memerlukan,” katanya.

Teater ini juga bakal menampilkan barisan pelakon teater remaja yang sangat berbakat seperti Sufi Sufea, Zamir Rashidi, Adli Fadle dan Hamdani Sattar sebagai watak utama dalam pementasan ini.

Orang ramai boleh mula membeli tiket pementasan dengan harga RM50, RM70 dan RM100 serta pembelian terawal akan diberikan diskaun sebanyak 10%.

Tiket teater juga boleh di dapati terus melalui laman sesawang https://ilassotickets.com/event/tanjong/ atau https://www.kelabteaterasar.com.my/teater-tanjong

Fatin Nurain