Antara Calon Diramal Bakal Juara AJL 36, Naim Daniel Harap Peminat Dapat ‘Rasa’ Persembahan Purnama & Lara

Selepas membuat persembahan ketika sesi full dress rehearsal semalam, boleh dikatakan penyanyi Naim Daniel antara calon yang berpotensi merebut gelaran juara Anugerah Juara Lagu 36 (AJL 36).

Memberikan persembahan yang cukup bertenaga dengan vokal yang baik dan persembahan yang memukau, pemenang AJL 34 ini semestinya antara finalis yang dilihat sering memberikan cabaran bukan sahaja buat finalis lain tetapi cabaran untuk dirinya sendiri.

Naim atau pemilik nama sebenar, Muhammad Naim Daniel Baharin, 25, bagaimanapun berharap persembahannya kali ini dapat dirasai oleh semua peminat dan mereka yang mendengarnya.

“Untuk persediaan semua dah all set, tinggal nak perform je ni. Dari soundcheck semua berjalan lancar jadi kita harap semua orang akan enjoy this performance nanti, insya-Allah.

“Dan, saya harap menerusi lagu Purnama dan Lara, penonton dan peminat dapat rasa lagu ni. Kerana lagu ini memang bersifat perlu dirasai,” katanya.

 

 

Tambahnya lagi, soal anugerah adalah rezeki lain dan dia tidak menolak jika membawa pulang sebarang trofi pada AJL 36 kali ini.

“Untuk sebarang award tu, itu adalah rezeki lain, Naim tidak menolak atau menidakkan. Kalau ada rezeki insya Allah tahun ni boleh menang lagi ke… Aamiin.

“But, as for now saya harap orang dapat rasa performance ni nanti memandangkan sudah lama tidak be on stage dengan orang walaupun dengan small scale. Jadi, kita enjoy sahaja,” Jelasnya.

Bagaimanakah agaknya persembahan yang bakal dibawakan oleh Naim menerusi lagu Purnama dan Lara duet bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli ini? Jangan lupa saksikan AJL 36, 9 malam ini hanya di TV3.

Salma Syahbuddin