“Itu Kena Tanya Ernie, Saya Tak Pengaruhi Dia…” – Ganti Isteri Nyanyi Boneka di AJL 36, Ini Respons Syamel

Terjawablah sudah siapakah gerangan pengganti yang menyanyikan lagu Boneka di pentas Anugerah Juara Lagu 36 (AJL 36) sebentar tadi.

Semestinya persembahan yang cukup memukau dan gaya penyampaian lagu yang dibawakan dengan cara tersendiri menjadikan Syamel calon yang paling sesuai untuk membawakan lagu hasil ciptaan Omar K, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh pada AJL 36 kali ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai pemilihannya itu, Syamel menjelaskan perkara ini seharusnya dijelaskan sendiri oleh penyanyi asal yang merupakan isterinya, Ernie Zakri.

“Tentang soal ini, kena tanya Ernie sendiri. Tetapi dalam pemilihan ini saya tidak mempengaruhi Ernie apa-apa cuma, alhamdulillah.. harapnya persembahan Syamel boleh diterima oleh peminat Ernie terutamanya.

“Lagu Boneka ini, Syamel membawakannya dengan sehabis baik dan apa yang termampu. Insya-Allah, semoga segalanya baik-baik sahaja,” katanya kepada XTRA.

Berkongsi mengenai cabaran membawakan lagu ini, Syamel akui lagu ini mempunyai kekuatannya tersendiri dan menganggap Boneka adalah lagu yang sudah cukup sebati dengan isterinya.

“Cabarannya adalah Syamel harus membawakan lagu ini dengan cara tersendiri kerana kekuatan lagu ini adalah ia sudah sebati dengan Ernie,” jelasnya.

Sementara itu, Syamel yang juga pemenang Vokal Terbaik pada AJL 31 bergandingan bersama Ernie menerusi lagu Aku Cinta berharap agar persembahan Boneka dapat diterima dan disambut baik peminat.

Terdahulu, Ernie ada memberi gambaran bahawa penyanyi yang akan menggantikan dirinya adalah penyanyi yang sangat berbakat besar, mempunyai identiti di atas pentas yang sangat ‘strong’ dan tahu apa yang harus dilakukan bila membuat persembahan nanti.

 

Salma Syahbuddin