Bawa Pulang RM100,000, Apex Tajudin Juara Mentor Milenia 2019

Menepati ramalan penonton, protege kelahiran Kuala Terengganu, Apex Tajudin bergelar Juara Mentor Milenia 2019.

Protege kepada Hazama ini membawakan lagu Merisik Khabar di pusingan pertama manakala Fantasia Bulan Madu dan Langit & Bumi di pusingan kedua.

“Syukur Alhamdulillah ini rezeki untuk mak ayah, isteri, anak. Saya juga berterima kasih dengan Mentor Hazama serta juri-juri tetap yang banyak memberi sokongan. Saya tidak jangka dengan kemenangan ini,” katanya sejurus diumumkan sebagai juara Mentor Milenia, musim ini.

Dalam pada itu, Apex atau nama sebenarnya Ahmad Amirul Ahmad Tajudin menghargai segala nasihat dan tunjuk ajar Mentor Hazama sepanjang berada di dalam program ini.

“Saya akan pegang kata-kata nasihat abang Hazama yang selalu ingatkan saya agar meletakkan keluarga di tempat pertama dalam apa jua situasi,” katanya.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan dia dan mentornya, Hazama menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 dan sebuah motor Benneili RFS 150i beserta trofi.

Sementara, tempat kedua dimenangi oleh Daus Husny (Ernie Zakri), ketiga Aedy Kama (Black) dan keempat Rika Riana (Stacy).

Peserta bernama sebenar Muhammad Firdaus Abdul Rafi, 20, dari Johor ini memenangi hadiah wang tunai RM40,000 beserta trofi.

Aedy Kama yang menyampaikan lagu Sinar dan Lagu Untukmu dan berduet dengan Black menerusi lagu Seniman Menangis & Antara Hujan dan Air Mata pula menduduki tempat ketiga.

Aedy atau nama sebenarnya Muhammad Aidil Kamarulzaman, 22, membawa pulang wang tunai RM20,000 beserta trofi.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Faizal Tahir dengan lagu Ragaman.

Selain itu, Top 10 protege musim ini turut menyanyi medley lagu Rampas (nyanyian asal Akim & The Majistret) dan Sumpah (nyanyian asal Naim Daniel) dalam irama pop yeh yeh.

Pentas final membariskan juri profesional terdiri daripada Datuk Syafinaz Selamat, Altimet dan Faizal Tahir serta dihoskan Shuk Sahar, Elly Mazlein dan Zetty HotFM.

SGMS Faida