Arja Lee Mengaku Obses Panggung

Pelakon Arja Lee mengaku dirinya seorang yang ‘gila panggung’ yang mana sifat ingin mencuba segala cabang dalam bidang seni sentiasa membuak.

Katanya sepanjang enam tahun bergelar selebriti, Arja telah mencuba berlakon, menyanyi, mengacara dan menari.

“ Dengan kehadiran ramai pelakon dan penyanyi baru, cabaran untuk kekal relevan dalam industri seni bukan hal mudah.

“ Bagi saya, jadi popular adalah bonus tetapi jika sebaliknya, tak jadi masalah. Apa yang penting sebagai selebriti kita perlu bijak ambil peluang bukan hanya menunggu,” katanya kepada XTRA.

Dalam pada itu, Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli memaklumkan mahukan watak lebih mencabar untuk berlakon di dalam sebuah drama.

“ Saya selalu diberi watak anak orang kaya yang duduk di kerusi empuk pejabat. Bila terlalu selalu buat benda sama, saya risau penonton jemu.

“ Jika diberi peluang saya mahu terlibat dalam penggambaran filem hantu. Beri saya watak mencabar, saya sanggup mencuba. Selain itu saya belum diberi watak orang kurang upaya. Kalau ada tawaran, saya pasti menerima dengan hati terbuka,” kata Arja yang pernah membintangi filem kontroversi, Dalam Botol.

Namun begitu, pelakon berusia 35 tahun ini bersyukur apabila karier seninya berjalan rancak di awal tahun 2019.

SGMS Faida