Atu Zero & Danial Zaini Tampil Dengan Lagu ‘Jom Beraya’

Setiap kali menjelang musim lebaran, pastinya orang ramai akan mula mendengar lagu-lagu raya dimainkan di corong radio, mahupun menerusi platform penstriman digital.

Dua pelawak terkenal Malaysia iaitu Atu Zero dan Danial Zaini kini tampil dengan lagu raya terbaru berjudul ‘Jom Beraya’. Lagu ini merupakan runut bunyi rasmi bagi filem Sumpahan Malam Raya, sebuah filem komedi seram arahan Datuk Professor Dr. A. Razak Mohaideen.

Menurut Atu, dia rasa beruntung kerana dapat bekerjasama dengan Danial menerusi ‘Jom Beraya’ yang merupakan lagu raya pertama nyanyiannya untuk filem terbabit.

“Saya rasa beruntung dapat bekerjasama dengan Danial kerana dia seorang pelawak dan penyanyi yang bagus. Suaranya pun bagus, tambahan lagi dia pernah mengeluarkan lagu sebelum ini. Jadi, Danial sudah ada penjenamaan dalam nyanyian, hal itu memberi kelebihan untuk saya berduet bersamanya,” katanya.

Atu mengatakan bahawa lirik lagu ‘Jom Beraya’ mempunyai maksud dan ia berkait dengan jalan hidupnya yang juga merupakan seorang perantau.

“Saya asal dari Sabah dan merantau di Semenanjung, apabila saya menyanyi dan dengar lagu ini, saya terus rasa ada kaitan kerana bait liriknya mengingatkan saya pada zaman kanak-kanak ketika beraya di tempat asal saya,” katanya lagi.

Bercakap tentang proses rakaman, Danial akui semuanya berjalan lancar kerana proses rakaman lagu hanya mengambil masa kurang satu jam.

“Antara semua lagu yang pernah saya hasilkan, lagu inilah yang mengambil masa paling cepat untuk siap dirakam. Kami hanya ambil masa 30 minit sahaja untuk proses rakaman. Kami datang ke studio, lakukan ‘rehearsal’ dalam 2 jam, kemudian terus rakam,” katanya.

Lagu ‘Jom Beraya’ boleh didengar dan dimuat turun iTunes serta menerusi platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music pada 7 April 2023.

Nurul Hana