“Awak Ingat Saya Tak Mampu Nak Buat Anak Saya Cantik?”- DSV Dedah Cik B Kerap Jadi Mangsa Body Shaming

Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida menyelar tindakan segelintir netizen yang berani mengeluarkan kata kesat terhadap anak perempuannya, Nur Edlynn Zamileen atau lebih mesra disapa Cik B.

Menurutnya, Cik B mempunyai masalah terlalu berasa rendah diri akibat kerap menjadi mangsa body shaming netizen.

Malah, lebih mengecewakan, ada individu yang berani tampil mempersendakan anaknya itu menerusi video yang dimuat naik dilaman sosial media miliknya.

“Cik B dia ni selalu rasa rendah diri… selalu kata siapalah Cik B setiap kali kena body shaming.

“Sampai ada satu video… masa tu saya tengah buat video dengan Cik B, dia mempersendakan anak saya dengan berkata, ‘Kenapa dia (netizen) lagi cantik kalau duduk sebelah Cik B berbanding duduk sebelah artis?’ Maksudnya anak aku tak cantik?,” katanya.

DSV berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemu bual oleh sebuah portal hiburan popular baru-baru ini.

Meskipun kesal dengan tindakan tidak sensistif individu berkenaan, DSV bagaimanapun menegaskan, dia mampu untuk mengubah penampilan anaknya itu menjadi lebih cantik dan menarik.

Namun, dia masih waras dan tidak mahu terlalu memberikan tekanan kepada Cik B.

“Eh, awak ingat saya tak mampu ke buat Cik B nampak cantik? Kurus, kerat usus, bibir mungil, semua saya boleh buat. Tapi, saya nak dia grow dengan cara semulajadi,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai adakah dia melarang Cik B memotong usus demi mendapatkan bentuk badan ideal, DSV berkata, dia mahu anaknya itu sihat dan kelihatan menarik dengan cara semulajadi.

“Setakat ni saya tak berani nak biarkan. Biarlah cara kita semula jadi. Yang penting, doa, ikhtiar, tawakkal, dan apapun kita kena buat dengan jiwa,” ujarnya.

 

 

Sumber: Instagram Media Hiburan

Salma Syahbuddin