Individu Panas Punggung Beto Kusyairy Masih Belum Miliki Zuriat, Syukur Dikurniakan Ibu & Mentua Yang Tidak Berfikiran Kolot

Pelakon Beto Kusyairy memberikan respons terhadap seorang individu memberi komen kurang sensitif soal zuriat terhadapnya yang sudah 16 tahun berkahwin.

Beto atau nama sebenarnya Nur Kusyairy Zakuan Osman, 44, turut berkongsi tangkap layar komen kurang senang individu terbabit menerusi sebuah hantaran di Instagram Story (Igs), semalam.

Menurut individu terbabit, sekiranya dia ibu kepada Beto, dia akan mempunyai harapan yang sangat besar untuk melihat pelakon itu mempunyai zuriat.

Malah, individu tersebut turut menganggap perkara itu adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila Beto dan isterinya, Tisha Shahar tidak dapat menyambut generasi keluarga mereka.

“Jika saya ibu kepada Beto, besar harapan untuk melihat zuriat. Mungkin si isteri boleh berkorban di sini. Isi hati seorang ibu kepada tiga anak lelaki yang masih bujang.

“Cinta boleh disemai, generasi dan zuriat yang terputus amatlah menyedihkan. Namun, rezeki masing-masing dah Allah tetapkan,” komennya.

Tidak melatah dengan komen negatif yang diterima, Beto bagaimana pun meluahkan rasa bersyukur kerana dikurniakan ibu kandung dan ibu mentua yang tidak berfikiran kolot seperti individu terbabit.

“Syukur Alhamdulillah, aku dikurniakan mak kandung dan mak mertua yang TIDAK berfikiran seperti ini. Love you mummy dan mama,” katanya.

Sebelum ini, Beto pernah menyatakan dia sedikit pun tidak pernah menyalahkan takdir sebaliknya akur dengan takdir mereka masih belum dikurniakan zuriat.

Bahkan, pelakon filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan itu juga mengakui dia dan isterinya sudah melakukan pelbagai usaha untuk menimang cahaya mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Beto Kusyairy Reda 14 Tahun Kahwin Belum Ada Anak, Netizen Pula Sibuk Minta Kahwin Lain? 

 

 

Fatin Nurain