Ubat Rindu Peminat, Dayang Nurfaizah Janji Persembahan Terbaik Di Loop Music Festival

Penyanyi popular, Dayang Nurfaizah berasa teruja apabila bakal beraksi di pentas berskala besar dengan menampilkan 15 barisan artis popular tanah air.

Katanya ketika ditemui XTRA, dia bakal menjanjikan persembahan terbaik pada Festival Muzik Loop yang akan berlangsung pada Sabtu ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Berkongsi lanjut mengenai persembahannya nanti, pemilik nama sebenar, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 42, berkata, dia akan menyanyikan sebanyak 6 buah lagu termasuklah lagu lama dan lagu baharunya.

Antara lagu yang bakal dibawakan nanti adalah, Lelaki Teragung, Di Pintu Syurga, Dayang Sayang Kamu, Seandainya Masih Ada cinta, Ketipang Payung dan Umpan Jinak Di Air Tenang.

Tambahnya, dia juga akan menambahbaikan mutu nyanyiannya agar lebih ‘fresh’ terutamanya buat peminat yang hadir dan sentiasa menyokong karier nyanyiannya.

“Semestinya saya berasa teruja kerana dapat membuat persembahan di pentas berskala besar dengan lebih kurang 15 barisan artis popular tanah air.

“Dari segi persiapan, saya mahu something fresh for this Loop Music Festival. Jadi saya mahu tampilkan sesuatu untuk peminat-peminat saya yang rindu untuk  menyanyi lagu-lagu balada saya. So, saya lebih banyak practice semula lagu balada dan enhancement kan lagi arrangement lagu dan vokal saya.

“Setiap kali saya membuat persembahan yang besar, saya suka tengok persembahan, nyanyian dan muzik saya untuk nampak lagi special di mata peminat. So, saya memang banyak study.

“Jadi, anda semua kena datang dan tengok artis-artis kita perform, sebab kita ada Masdo, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aisha Retno dan ini menunjukkan artis muda dan senior bergabung dan menampilkan pelbagai genre muzik.

“Selalu kalau konsert galau, galau sahaja begitu juga dengan konsert Indie. Tapi di Loop Music Festival ni dia menampilkan pelbagai genre muzik. So, you guys memang kena datang dan enjoy the music,” ulasnya.

Enggan berkongsi lanjut mengenai busana yang bakal dipakai pada persembahannya nanti, Dayang bagaimanapun menjelaskan, busana tersebut merupakan elemen ‘surprise’ buat dirinya memandangkan orang ramai masih sibuk dan masih berada dalam suasana Hari Raya.

“Sebenarnya saya tak tahu… sebab saya tak tengok pun lagi baju apa dan macam mana. Lagipun masing-masing masih sibuk dengan mood raya, jadi semua orang busy dan itu adalah surprise for me juga. Tapi, harap-harap cantik lah,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Dayang kini sedang sibuk menyiapkan rakaman album baharunya yang bakal dikeluarkan pada tahun ini.

“Sekarang saya dalam proses menghabiskan rakaman album saya yang terbaru. Insha-Allah saya cuba untuk keluarkan tahun ini juga… album bergenre balada.

“Sekarang ini dah 70 peratus siap dan saya akan cuba siapkan secepat yang mungkin sebab ini pun dah tertangguh agak lama,” katanya.

Ketika disoal mengenai konsert solonya pula, Dayang menjelaskan, dia tidak mahu terburu-buru untuk mengadakan konsert solo memandangkan perancangan yang rapi perlu dibuat demi kepuasan peminat-peminatnya.

“Of course, impian setiap penyanyi adalah nak adakan konsert… kerana itu merupakan kepuasan seorang penyanyi dan juga untuk peminat saya berasa puas.

“Tapi nak buat konsert ni bukan senang… prosesnya lama jadi saya tidak mahu terburu-buru. Dan, saya akan pastikan saya akan fokus pada album saya dahulu kemudian baru konsert insha-Allah. Sebab konsert ni lain dari perform yang biasa-biasa. Apapun, doakan saya,” jelasnya.

Salma Syahbuddin