Ayda Jebat Sedia Timang Cahaya Mata Lagi

Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat, tampil menyatakan dirinya sudah bersedia untuk timang cahaya mata kedua memandangkan anak sulungnya, Ana Nayla kini sudah berusia dua tahun.

Menurut Ayda, dia tidak mahu anaknya mempunyai jarak usia yang jauh, namun akur dengan keputusan suaminya, Nabil Mahir yang ingin dia sembuh sepenuhnya.

“Kalau boleh kami tak mahu jarak usia Nayla dan anak kedua jauh, lebih lagi, Nayla akan menjengah dua tahun dalam tiga bulan lagi.

“Sebenarnya, saya sudah lama bersedia, tetapi Nabil takut saya belum cukup sembuh, namun Nayla berusia dua tahun, rasanya sudah sesuai.

“Sekiranya diizinkan, saya inginkan sepasang anak, jadi boleh merasa perbezaan menjaga anak lelaki dengan perempuan,” katanya.

Memetik laporan BH Online, Ayda turut menyatakan kini setiap hasil titik peluh yang mereka perolehi pasti akan diketepikan terlebih dahulu untuk keperluan anaknya, Nayla.

“Sebenarnya, apa yang saya dan suami, Nabil Mahir buat semuanya adalah untuk Nayla. Sebab dahulu dapat duit kami belanjakan untuk diri sendiri.

“Sekarang berbeza, bila dapat duit kami tolak tepi untuk anak. Kami tidak tahu apa akan jadi masa hadapan nanti, jadi perlu membuat simpanan.

“Misalnya, kami menjayakan iklan komersial membabitkan Nayla, kami juga akan mengetepikan duit untuknya.

“Alhamdulillah, semoga apa yang kami lakukan dapat memberi manfaat buat Nayla pada kemudian hari,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Pencuri Hati ini juga sempat menasihatkan orang ramai untuk tidak terus mengasak atau menghakimi seseorang artis yang sudah berkahwin tentang zuriat.

Bagi Ayda, perkara tersebut merupakan isu sensitif bagi setiap pasangan yang sudah berkahwin memandangkan mereka tidak tahu situasi yang dialaminya.

“Walaupun tidak melalui situasi itu, tetapi kebanyakan ahli keluarga dan kawan termasuk adik saya mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk dikurniakan anak, dan sepupu saya juga empat lima tahun.

“Bagi saya, peminat atau netizen tidak patut mempersoalkan zuriat seseorang kerana ia adalah perkara sangat sensitif bagi pasangan yang sudah berkahwin.

“Kita tidak tahu situasi orang, mungkin ada orang belum bersedia kerana ada perancangan atau ada yang menunggu kestabilan ekonomi.

“Disebabkan itu, kalau boleh janganlah bertanya sebab bila anda tidak berada dalam situasi ini. Kita tidak nampak kesedihan dilalui terutamanya mereka yang sudah bersedia, tetapi belum dikurniakan anak lagi,” katanya.

Sumber: BH Online

Fatin Nurain