Azmi Saat & Isteri Selamat Timang Cahaya Mata Perempuan, Kongsi Nama Khalisa Insyirah Khairul Azmi

Penyanyi dan vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat berkongsi berita gembira apabila isterinya, Nazira Muhammad selamat melahirkan bayi perempuan mereka pada petang tadi.

Menurut Azmi, dia bersyukur ibu dan bayi kini berada dalam keadaan sihat dan proses bersalin juga berjalan lancar dan dipermudahkan.

Bayi seberat 3.62 kilogram itu juga telahpun diberi nama sebagai Khalisa Insyirah Khairul Azmi.

“Alhamdulillah. Pukul 3.28 petang tadi isteri saya selamat melahirkan anak perempuan kami. Baby dan ibu kedua-duanya sihat. Semuanya dipermudahkan Allah.

“Baby gebu. Beratnya 3.62 KG. Moga Khalisa Insyirah binti Khairul Azmi membesar dengan sihat dan menjadi anak yang solehah.

“Terima kasih kalian yang tak jemu mendoakan kebahagiaan kami,” katanya.

 

Perkara itu dikongsi Azmi menerusi hantaran terkini di Instagram miliknya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan artis turut  menitipkan ucapan tahniah buat pasangan ini.

Terdahulu, anak sulung pasangan ini iaitu Allahyarham Khairul Afnan meninggal dunia pada 30 September 2021.

ARTIKEL BERKAITAN:Azmi Saat Kongsi Berita Gembira, Isteri Kini Hamil 7 Bulan – “Habit Dia, Suka Sangat Tidur Atas Lantai”

Salma Syahbuddin