Bakal Kahwini Wanita Kazakhstan Hujung Tahun Ini, Fadlan Hazim Akui ‘Fed Up’! – “Lagi Mencabar Lagi Bermakna Cinta…”

Aktor kacak Fadlan Hazim mengakui proses untuk berkahwin dengan wanita berlainan warganegara bukan sesuatu yang mudah.

Menurut laporan mStar, Fadlan bercadang untuk mengahwini tunangnya warganegara Kazakhstan bernama Aiya Mukhamedsalova itu pada penghujung tahun ini.

“Tahun ini, Insya-Allah penghujung tahun.

“Sekarang ini saya tengah uruskan banyak benda sebab berkahwin dengan wanita bukan warganegara bukanlah perkara yang mudah kalau nak bandingkan dengan orang tempatan.

“Banyak proses yang kena lalui, saya perlu ke imigresen, pejabata kedutaan dan sebagainya. Bila dah betul bersedia kita akan umumkan tarikh kelak,” ujarnya.

Kongsi pelakon Kampun People 3 itu lagi, dia perlu mengikuti beberapa adat yang ditetapkan oleh keluarga tunangnya itu seperti berjalan di atas paku, minum susu kuda dan mendaki gunung.

“Mereka ada adat tersendiri, mereka juga tak tak paksa saya untuk lakukan tapi saya sejenis yang ingin mencuba dan sukakan aktiviti lasak, jadi saya okey saja untuk buat.

“Antara pengalaman adalah berjalan di atas paku, paku itu kecil saja bukanlah panjang pun tapi tak berdarah pun. Keluarga mereka pun cakap okey.

“Ujian itu macam berapa lama kita berdiri jadi ia dinilai dari itu.

“Yang paling mencabar ialah minum susu kuda, dia tidak berkrim sebab ia terus dari badan kuda tersebut. Saya tak biasa minum susu segar tapi saya telan sajalah,” kongsinya.

Dalam pada itu, Fadlan mengakui sedikit muak dengan segala jenis proses yang perlu diselesaikan bagi memperisterikan wanita bukan warganegara.

“’Fed up’ jugalah sikit tapi saya faham itu peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan kita (Malaysia).

“Tapi agak kejutan budaya jugalah tambah-tambah lagi pada keluarga saya punya tunang sebab dekat negara mereka senang.

“Bawa kad pengenalan, pasport, tanda tangan sudah siap, selesai dah kahwin tapi kat sini agak sukar tapi saya pun faham kenapa langkah-langkah itu perlu diambil.

“Lagi mencabar lagi bermakna cinta kita,” katanya.

Terdahulu, Fadlan mengesahkan dia sudah mengikat tali pertunangan dengan seorang wanita asal Kazakhstan 1 Oktober tahun lalu.

Sumber: mStar

Khairil Khusyairi