Categories: HiburanTrending

“Banyak Tawaran Lain Saya Terima Sebelum Ini, Tapi…” – Kolaborasi Dengan Amsyar Leee, Ezad Lazim Rakam Semula ‘Mengintai Dari Tirai Kamar’

Lagu malar segar yang pernah popular pada suatu ketika dahulu Mengintai Dari Tirai Kamar kini diberi nafas baharu oleh penyanyi asalnya, Ezad Lazim melalui sebuah duet istimewa bersama pendatang baharu yang kian meningkat naik, Amsyar Leee.

Diterbitkan oleh syarikat rakaman Warner Music Malaysia, Ezad mengakui banyak menerima tawaran untuk merakamkan semula semula lagu ini.

“Kalau hendak diikutkan, lagu ini sudah pun menjangkau usia 25 tahun lamanya, namun semenjak diperkenalkan pada tahun 1997, ia masih menjadi permintaan ramai penggemar muzik sehingga hari ini.

“Mungkin masanya kini sesuai untuk pengenalan semula lagu ini khususnya buat generasi sekarang dan peminat terdahulu yang masih merindui karya ini. Sebenarnya pihak Warner Music yang menyatakan hasrat mereka pada pengurus yang merupakan isteri saya untuk menyanyikan semula lagu ini.

“Banyak tawaran saya terima sebelum ini, bukan setakat Amsyar seorang, bahkan syarikat rakaman lain, artis lain, turut menyatakan hasrat mereka untuk berkolaborasi namun rezeki berpihak pada Amsyar kerana saya nampak kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak Warner Music dan akhirnya saya bersetuju,” kata Ezad.

Sebagai pendatang baharu, pemilik nama sebenar Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri ini mengakui gemuruh tatkala mendengar perkhabaran kolaborasi bersama Ezad.

“Apabila diberitahu oleh pihak Warner yang saya akan berduet dengan penyanyi asalnya, abang Ezad, hati ini berdebar. Seorang penyanyi bertaraf legenda sudi berduet dengan budak baru nak up (BBNU) seperti saya.

“Namun pada masa yang sama saya teruja berpeluang bekerjasama kerana saya anggap ia sebagai sebuah peluang yang tidak patut dipersiakan. Mungkin ramai pendengar muzik dari generasi sekarang kurang mengenali lagu ini, tetapi saya percaya lagu ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri apabila dinyanyikan semula dengan nafas yang baharu dan lebih segar,” kata Amsyar.

Bagi menghormati komposisi asal lagu Mengintai Dari Tirai Kamar hasil ciptaan komposer Saari Amri, legenda yang pernah memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan, penggubah muzik muda dari kumpulan Nastia, Rudy Iskandar dipertanggungjawabkan memberi makeover terhadap karya tersebut.

“Tidak banyak yang diubah. Lagu ini masih mengekalkan feel yang lama dengan sentuhan baharu melalui vokal latar yang ditambah bagi mempercantikkan lagi karya ini. Amsyar berjaya membawakan lagu ini dengan caranya tersendiri.

“Bagi saya dia mempunyai tarikan yang tersendiri dan mampu menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi, dan bukan hanya mahir meniru nyanyian artis lain. Jika didengar, tona suara Amsyar ada keunikannya tersendiri,” kongsi Ezad.

Lagu ini sememangnya mempunyai maksud yang istimewa dengan bahasa yang simbolik, bahkan tajuknya sahaja sudah cukup menarik perhatian, Mengintai Dari Tirai Kamar membawa erti sebuah angan-angan yang tidak mungkin tercapai.

“Menurut pencipta asalnya, abang Saari Amri, lagu ini menceritakan tentang perasaan cinta seorang lelaki yang tidak mempunyai apa-apa terhadap wanita yang didambakannya, lelaki tersebut berasa rendah hati, tidak sesuai, tidak layak untuk memiliki wanita tersebut kerana dirinya yang serba-serbi kurang.

“Sebagai anak seni yang telah mengharungi industri ini selama lebih dua dekad lamanya, sedikit sebanyak telah membentuk keperibadian saya pada hari ini. Apa yang telah saya hasilkan, tempuhi, jalani dan alami banyak mengajar saya dalam kehidupan. Zaman saya naik dan jatuh, zaman gelap saya, apa yang boleh saya perkatakan saya hanyalah manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan.

“Kini, bukanlah kepopularitian yang saya cari, lebih kepada tanggungjawab kepada masyarakat dalam memberi impak yang positif, cuba berikan yang terbaik dan menjadi insan berguna buat semua.

“Saya berharap agar kolaborasi ini mendapat sambutan yang hangat, mungkin ramai yang kurang mengenalinya tetapi dengan adanya Amsyar, boleh meraih peminat baru disamping memeriahkan industri seni kita.,” kata Ezad lagi.

Amsyar yang kini masih menuntut di salah satu universiti terkemuka negara turut berharap kolaborasinya Bersama Ezad akan meraih respons positif.

“Saya pinta agar lagu ini diterima ramai dengan nafas baru yang diberikan, saya sebagai BBNU bergabung dengan abang Ezad dapat memberi kelainan serta memikat hati para pendengar semua,” katanya.

Padin