‘Banyak Yang Berubah Lepas Bertunang’- Ain Edruce

Pelakon, Ain Edruce tidak menyangka perancangan menamatkan zaman bujang ketika nama mula meniti di bibir peminat membuka lebih banyak peluang dalam persada seni tempatan.

Biarpun ada segelintir pihak menganggap tindakan berkahwin bakal menjejaskan periuk nasinya, namun Ain berjaya membuktikan tanggapan itu berbeza buat dirinya.

“Ada segelintir pihak yang berpendapat ‘market’ saya dalam bidang seni akan jatuh apabila berkahwin kelak, namun situasi itu berbeza pula buat diri saya. Alhamdulillah…semakin banyak tawaran diterima selepas saya membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

“Tidak dinafikan, ada juga yang berpendapat rezeki kita akan bertambah apabila mendirikan masjid. Saya juga tidak menganggap status sebagai isteri sebagai penghalang untuk terus mencari rezeki dan meluaskan pengaruh jenama sendiri.

“Boleh dikatakan banyak yang berubah selepas bertunang, dan Amirul sendiri semakin memahami.

“Kami berkenalan selama setahun sebelum membuat keputusan untuk berkahwin, jadi masih banyak yang dipelajari antara satu sama lain. Mungkin semakin tunang memahami kerja saya, rezeki pun semakin bertambah,” katanya kepada Xtra.

Malah, Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce berkata, dia tidak sabar untuk menjadi isteri dan mempunyai keluarga sendiri.

Berbicara mengenai saluran Youtube yang dikelolakan, Ain mengakui lebih bebas menjadi diri sendiri menerusi platform digital itu. Dapat mendekati peminat dengan lebih dekat, Ain mengakui kekuatan medium berkenaan.

Oleh: Zaara Talita

SGMS Faida