Categories: Hiburan

Baru Jejak Industri Seni Tapi 2 Anggota Dah Undur Diri… Anak Saudara Stacy Jadi Pelengkap The Gadys

Kumpulan The Gadys tidak kisah jika disamakan dengan kumpulan penyanyi wanita yang berjaya mencipta fenomena, Dolla.

Dianggotai oleh Aznie, Ayunie dan Thamiera, mereka menghormati pendapat orang lain yang menganggap mereka mempunyai persamaan debgan Dolla.

“Sejujurnya, kami merasakan pandangan itu okay sahaja. Lagi pula, setiap orang ada perspektif tersendiri. Dolla ada kelainan. Begitu juga kumpulan kami.

“Orang dapat lihat kelainan sebenar kami menerusi lagu Gagal Cinta,” jelas Aznie mewakili kumpulan The Gadys.

Aznie berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa sidang media pelancaran lagu baharu kumpulan The Gadys yang bertajuk Gagal Cinta.

Mereka turut menyangkal dakwaan yang mengatakan nama dan identiti The Gadys akan terjejas apabila disamakan dengan Dolla.

Mengakui masih bertatih dalam industri seni, mereka cuba untuk tampilkan perbezaan agar dilihat memiliki keunikan dan gaya tersendiri.

“Kami akan tonjolkan perkara yang lain dari yang lain melalui konsep, karakter, tarian, pakaian dan muzik,” katanya kepada XTRA.

Mempertaruhkan genre pop dan rentak lagu bersifat ‘sing along’, kumpulan yang terkenal dengan lagu Gelek Jambu itu mengharapkan Gagal Cinta diterima di hati netizen kerana sarat dengan pengajaran dan iramanya yang segar.

Dalam pada itu, terpalit dengan isu dua orang anggota kumpulan iaitu Nellisa Nizam dan Faa Zaini yang mengundurkan diri, mereka mengaku agak bimbang untuk berdepan dengan kecaman netizen.

Thamiera Chan mengisi kekosongan tersebut setelah melalui ujibakat secara tertutup.

Sebagai anggota baharu, Thamiera mengakui mudah untuk bekerjasama dengan Ayunie dan Aznie.

Dedah Thamiera yang merupakan anak saudara Stacy, dia bersedia untuk dibanding-bandingkan dengan anggota lama The Gadys sebelum ini.

“Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Saya mempunyai vokal yang mantap dan akan buat yang terbaik,” ujar Thamiera.

Syamir Shafie