Bawa Lagu Cindai, Sejati & Buih Jadi Permadani, 12,000 Peminat Puas Bergalau Dengan Judika Di Axiata Arena!

Konsert Rockmantic Night Judika & The Gang bukan sahaja melakar kenangan indah dalam kalangan peminat, malah juga tersemat sebagai memori paling bermakna buat penyanyi terkenal Indonesia, Judika.

Pertama kali menggegarkan pentas Axiata Arena di Malaysia, Judika meluahkan rasa terharu atas sokongan 12,000 peminat dan keluarga yang hadir.

Menurutnya, konsert yang dianjurkan oleh Dua Anak Deo (DAD) Management dan Kharisma Music International ini menjadi sejarah pertama yang membawa seluruh ahli keluarga besarnya iaitu isteri, anak-anak, orang tua dan ibu bapa mentuanya menyaksikan konsert itu.

“Hari ini cukup lengkap kerana mama, papa serta ibu bapa mentua dapat datang menyaksikan konsert pertama saya di Malaysia dengan ramai penonton

“Bagi saya, ini adalah kebahagiaan yang tidak boleh dibayar dengan apapun.

“Mereka buat keputusan untuk datang. Mungkin konsert sebelum ini agak biasa kerana selalunya habis nyanyi saya terus pulang.

“Namun, konsert kali ini cukup istimewa dan saya perlukan sokongan dan doa mereka sebelum buat persembahan,” ujarnya di sidang media usai konsert gemilang itu.

Meskipun sudah menjangkau usia 45 tahun, namun energinya cukup ampuh dan tidak menghalang Judika untuk bergiat aktif di atas pentas terutamanya dalam memberikan kenangan indah buat peminat.

Malah,  Judika terus menyanyi dan hanya berhenti seketika untuk berinteraksi dengan peminatnya yang hadir.

Antara lagu-lagu hits yang didendangkan adalah Bukan Rayuan Gombal, Aku Yang Terluka, Jadi Aku Sebentar Saja, Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik Baik Saja, Jikalau Kau Cinta, Putus Atau Terus, Sampai Akhir, Aku Yang Tersakiti dan Cinta Karena yang menjadi lagu penutup konsert yang gilang-gemilang itu.

Selain itu, Judika turut berduet bersama Shila Amzah menerusi lagu Kisah Ku Inginkan dan Bukan Dia Tapi Aku bersama Marsha Milan.

Pada malam konsert berkenaan, Judika juga membawakan  lagu Buih Jadi Permaidani tajuk asalnya adalah Mengintai Dari Tirai Kamar dendangan kumpulan Exists, Sejati (Wings) dan lagu berirama tradisional yang dipopularkan Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Cindai.

Konsert ini turut menampilkan tiga penyanyi undangan dari Malaysia iaitu Shila Amzah, Haqiem Rusli dan Marsha Milan.

Artikel Berkaitan: Effort A+! 6 Tahun Hubungan Cinta Judika & Isteri Dilarang Orang Tua – “Aku Tak Putus Asa, Perkukuh Karier, Beli Rumah…”

Artikel Berkaitan: Bawa Lagu Memori Tercipta, Shila Amzah Sebak Ramai ‘Sing-Along’ Hingga Axiata Arena Bergema Di Malam Konsert Rockmantic Night Judika & The Gang!

Kredit foto: Instagram Judika, DAD Management

Aqilah Paharuzi