Siti Nordiana Kongsi Momen Terakhir Bersama Arwah Achik Spin, Mengaku Pernah Bercinta – “Saya Balas Cinta Dia Tapi…”

Penyanyi Siti Nordiana akui kisah hitam yang menimpa rakan karibnya yang juga penyanyi popular, Allahyarham Achik Spin masih segar di ingatannya.

Siti Nordiana berkongsi momen-momen terkahir dia bersama arwah Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari sebelum Achik terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2010.

“Ia tamparan hebat dalam diri saya, saya orang terakhir jumpa dia, dan judul lagu duet kami yang terakhir pun seolah memberitahu dia akan pergi. Tajuk lagu itu Cari Ketenangan ciptaan Ajai.

“Pada hari kejadian, memang nampak lain, asyik-asyik nak datang pada saya, macam nak berbual. Tapi saya tak layan dia sebab sibuk bersiap untuk acara.

“Dia selalu tumpang kereta saya, dia selalu bising cakap kereta saya bersepah. Tapi hari kejadian, dia diam saja. Dia tak marah. Selepas saya hantar dia ke kereta dia, dia terus pergi.

“Kemudian saya dapat tahu dia meninggal dunia selepas dua jam kami jumpa. Dia kemalangan ketika nak balik ke Seremban,” kongsi Siti Nordiana dalam sebuah temu bual.

Siti Nordiana yang bergandingan dengan Achik di awal era 2000 itu turut terkejut apabila mendapat perkhabaran duka itu selepas beberapa jam mereka bertemu dalam sebuah rancangan di Kuala Lumpur.

“Saya pula tertidur, penat baru pulang buat persembahan. Bila bangun telefon saya banyak sangat panggilan telefon tak dijawab.

“Ada kenalan hubungi saya beritahu Achik meninggal. Saya terkejut dan terus hubungi kakak Achik.

“Berdebar jantung, saya terus pergi hospital dan sah dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Nordiana juga mendedahkan dia dan Achik sering digosipkan bersama suatu ketika dahulu dan Siti Nordiana mengakuinya.

“Dulu memang ada gosip antara kami, peminat suka sangat saya bersama arwah Achik. Ada terjalin sedikit perasaan itu, masa umur saya 16 tahun.

“Tapi senyap sahaja, tak beritahu orang. Cinta monyet, biasalah zaman remaja,” kongsinya.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata ini lagi, dia mengakui Achik mempunyai hati terhadapnya ketika itu namun kisah percintaan mereka tidak panjang.

“Pergi mana-mana sekali, bila digosipkan bercinta, rasa macam malu-malu dan jangal. Akhirnya, saya okey saja.

“Dia memang ada hati dekat saya. Saya tahu, selama ini dia pergi show dia kagum dengan suara saya. Saya tahu dia peminat saya.

“Kemudian saya pun balaslah cinta dia tapi sekejap sajalah. Tak ingat pula berapa tahun. Sekitar umur 16 hingga 17 tahun begitu.

“Selepas masing-masing berumah tangga, maknanya jodoh tak sampai, kami banyak menjauhkan diri. Jarang berbual,” tutupnya.

Sumber: Sinar FM

Khairil Khusyairi