Bawa Semangat Arwah, Lefthanded Hibur Peminat Singapura 7 Mac!

Anggota kumpulan Lefthanded, Man Kidal memaklumkan anak kepada pemain dram Allahyarham Man Dayak, Hafiz bakal beraksi menggantikan posisi arwah di konsert Lefthanded bersama papa rock, Datuk Ramli Sarip.

Kata Man Kidal  ketika ditemui Xtra pada sidang akhbar pengumuman Konsert “Seruan” X Datuk Ramli Sarip Live In Singapore” di Music Box Karaoke, Da Men Mall, semalam, dia yakin dengan kemampuan anak Allahyarham untuk bermain dram di sebuah konsert berskala besar.

” Hafiz mula ikut arwah bapanya membuat persembahan sejak kecil lagi. Kami memang rasa kehilangan membuat konsert tanpa arwah di pentas. Tetapi dengan kehadiran Hafiz, kami percaya semangat arwah ada bersama kami,” katanya.

Allahyarham Man Dayak atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Othman meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada Mac 2016.

Tambah Man Kidal, konsert ini amat istimewa bagi dia dan anggota kumpulan yang lain memandangkan sudah 20 tahun Lefthanded tidak membuat persembahan bersama Datuk Ramli Sarip.

“Konsert itu dipentaskan sebagai menandakan 40 tahun sejak penubuhan Lefthanded. Lebih istimewa lagi, kami berpeluang membuat persembahan bersama beliau. Itu lebih membanggakan kami kerana dapat berkongsi pentas dengan penyanyi hebat tanah air,” katanya. 

Konsert Lefthanded “Seruan” x Datuk Ramli Sarip bakal berlangsung selama tiga  jam di Capitol Theatre, Singapura pada 7 Mac ini. 

Tiket berharga SGD88, SGD108, SGD138 (duduk barisan atas -Dress & Circle) dan SGD148 (duduk barisan hadapan- Stall) sudah boleh didapati melalui www.ogoffgrid.com.

Malah untuk peluang bertemu ahli band Lefthanded secara dekat pada hari konsert, pemegang tiket hanya perlu menambah SGD50 sekali gus layak memperoleh baju ‘T’ dan Tote Bag percuma. Bagaimana pun, ia terhad kepada 100 peminat sahaja.

Maklumat lanjut layari laman sosial facebook dan Instagram pihak penganjurnya,  ogoffgridprojects.

Oleh: Fas

SGMS Faida