Bekas Isteri Safee Sali Impi Berbuka & Sambut Hari Raya Aidilfitri Bersama Anak-Anak

Bekas isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali iaitu, Fitria Elfina Maharip berharap agar kes penjagaan anak-anaknya dapat diselesaikan dengan kadar segera.

Memetik laporan mStar, Fitria berkata, sudah dua bulan dia tidak berjumpa dengan anak-anaknya, malah tiada sebarang perkembangan terkini mengenai isu tersebut.

Tambahan pula, dia menyimpan hasrat untuk berbuka puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anaknya.

“Saya sangat sedih sebab saya memang mahu beraya dengan anak. Ini kali pertama saya berpisah dengan anak-anak dan saya rasa kosong.

“Saya ke mahkamah untuk penjagaan hak sementara. Kalau boleh sebelum raya saya nak jumpa anak-anak sebab sudah dua bulan. Saya nak sangat anak-anak dapat berbuka puasa dengan saya dan beraya dengan saya,” ulasnya.

Ketika ditanya apakah perkara utama yang mahu dilakukannya jika diberi peluang untuk beraya bersama anak-anak, Fitria memaklumkan, dia akan mencari keperluan raya anak terlebih dahulu seperti baju raya dan sebagainya.

“Saya akan carikan baju raya anak-anak, memang apa yang selalu saya buat setiap tahun.

“Apapun, harapan saya adalah saya cepat berjumpa dengan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Fitria turut menolak dakwaan susulan kenyataan Safee sebelum ini yang mendakwa dia tidak memberikan komitmen berkenaan hak penjagaan anak-anak mereka.

“Dia cakap saya tidak bagi komitmen padahal semua itu tidak benar.

“Saya bagi dia (Safee) tiap minggu datang jumpa anak-anak, malah siap dengan bermalam sekali,” jelasnya.

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin