Bekas Madu Miera Leyana Puas Hati Beri Kenyataan Kes Nusyuz, Luah Tak Pernah Ingkar Suami

Bekas madu pelakon, Miera Leyana iaitu Adibah Abdul Mutalib menyatakan rasa puas hati berhubung kenyataan balas diberikannya di mahkamah berhubung kes nusyuz difailkan bekas suami, Rosland Othman pada Disember lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Rosland memfailkan kes nusyuz terhadap Adibah semasa mereka masih suami isteri atas alasan ingkar perintah suami apabila tidak meminta izin keluar dari rumah pada 24 Disember 2021.

Menurut Adibah, dia bersyukur dapat menjawab dengan tenang dan mengharapkan keputusan yang adil daripada pihak mahkamah.

“Selama 28 tahun sebagai isteri dia (Rosland), saya sangat menghormatinya sebagai suami. Saya tidak pernah bertindak yang bukan-bukan di belakangnya, apa lagi memburuk-burukkan dia di media. Tak ada.

“Alhamdulillah saya dapat meluahkan serba sedikit apa yang dirasakan dengan soalan-soalan yang membawa saya mengimbau semula semua situasi permasalahan berlaku sejak dari hari pertama sehingga kemuncaknya, saman nusyuz dibuat,” jelasnya.

Tambahnya, dia percaya mana-mana wanita yang berada di situasi sepertinya akan bertindak membawa diri untuk mencari ketenangan.

“Walaupun tak dilayan dan mendapat keadilan (ketika masih suami isteri), kita cuba bertahan sebaik mungkin sebab kita tak nak runtuhkan rumah tangga, tapi nampaknya macam itulah (bercerai),” ujarnya.

Sambungan kes nusyuz difailkan Rosland selaku plantif dan Adibah selaku defendan itu dibicarakan di hadapan Hakim Abdul Fattah Kamaruddin di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Khamis lalu.

Perbicaraan kes nusyuz ini disambung pada 31 Oktober depan untuk Adibah menampilkan saksi bagi pihaknya.

Terdahulu, Adibah sah diceraikan talak satu oleh Rosland yang juga ahli perniagaan di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 3 Ogos lalu.

Mereka telah mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 11 hingga 26 tahun.

Untuk rekod, Rosland juga berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020 lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan.

Maya Basir