Luah Rasa Tak Adil, Usop Sifatkan Influencer Jadi Penyanyi Rosakkan Industri Muzik?

Penyanyi Usop meluahkan rasa kecewa apabila beberapa pihak mengangkat pempengaruh media sosial untuk menceburi industri muzik.

Memetik laporan mStar, Usop atau nama sebenar Muhammad Saiful Naim Mohd Noor memberitahu perkara itu tidak adil memandangkan dia sendiri tidak melalui jalan mudah untuk bergelar penyanyi.

“Sekarang senang nak naik (jadi artis). Dulu saya pergi uji bakat. Pukul 6 pagi pergi, habis pukul 2 pagi esoknya. Penat.

“Tapi, kita boleh tengok macam mana kualiti artis. Kita ini artis dari program realiti boleh bandingkan dengan artis sosial media,” katanya.

Menurut naib juara program Mentor Milenia 2017 ini, dia merasakan tidak adil kepada penyanyi-penyanyi yang mengharungi pelbagai cabaran untuk meningkat naik.

Malah, Usop turut merasakan sesetengah lagu yang dinyanyikan oleh pempengaruh ini seakan merosakkan industri muzik negara.

“Saya tak rasa tergugat, saya rasa tak adil. Kenapa industri Malaysia macam ini? Kadang-kadang keluar lagu merepek-repek. Apa ni? Nak rosakkan industri muzik Malaysia ke?

“Penyanyi dulu nak jadi penyanyi sangat susah. Kena keluarkan lagu yang sedap. Tapi kenapa lagu sekarang naik.

“Sekarang ini kalau jumlah tontonan daripada TikTok tinggi, dekat platform lain semua akan tinggi. Semua radio akan panggil, tapi kenapa radio panggil?,” soalnya.

Sementara itu, dia menegaskan tidak akan berduet dengan pempengaruh sekiranya diajak untuk berkolaborasi.

“Saya cakap jujur, saya taknak. Saya memang tidak akan duet sebab saya jenis orang yang memilih lagu.

“Harapan saya kalau boleh industri muzik Malaysia ini kena ada satu platform untuk artis dan pempengaruh untuk sama-sama bertanding bakat masing-masing,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Usop kini muncul dengan filem Mat Kola arahan Hafiz Nafiah.

Filem terbitan AA Success Pictures Sdn Bhd ini ditayangkan di 65 pawagam di seluruh negara bermula 21 September.

Maya Basir