Categories: HiburanSelebriti

Buah Tangan Baru Syafiq Abdilah, Suara Hidup Diinspirasikan Oleh OST K-Drama

Penyanyi Syafiq Abdilah, 24, semakin menjadi sebutan selepas dia menyertai program realiti, Big Stage musim keempat dan telah muncul dengan single, ‘Kekal’ pada Mac lalu.

Terbaru, penyanyi itu sekali lagi hadir dengan buah tangan baharunya berjudul, Suara Hidup.

Menurut Syafiq, lagu hasil nukilan Navigator dan Pique ini sudah dicipta sejak 2020 dimana ia membawakan ‘vibe’ baru dan berbeza dengan single sebelumnya.

Lagu Suara Hidup yang diinspirasikan daripada lagu balada Korea dan OST K-Drama ini mengisahkan tentang betapa pentingnya seseorang itu dalam kehidupan.

Proses rakaman lagu ini juga mengambil masa yang panjang kerana perlu memberikan sepenuh emosi selain rakaman vokal yang dilakukan lebih daripada empat sesi.

Mengenai muzik video (MV) lagu Suara Hidup, Syafiq memberitahu ia adalah kesinambungan daripada lagu Kekal yang menceritakan perjalanan kisah cinta pasangan kekasih.

Pada penghujung MV Kekal, ia diakhiri dengan ‘clif hanger’ apabila watak Hakim melintasi Sara seperti tidak pernah berkenalan sama sekali.

Jadi, menerusi MV Suara Hidup ini akan diterangkan sekaligus menjawab persoalan penonton yang sudah menonton MV Kekal.

“Saya harap semua pendengar akan suka dan juga boleh relate dengan lagu Suara Hidup,” ujarnya.

Suara Hidup boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan YouTube Music, sementara video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Maya Basir