Berjaya Tawan Gunung Kinabalu Kali Keempat, Azhan Rani Diuji Penyakit Akut Gunung – “Aib Nak Cerita Macam Mana Sampai…”

Pelakon Azhan Rani berkongsi kejayaan menakluk puncak Gunung Kinabalu di Sabah buat kali keempat.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, pelbagai dugaan dan cabaran ditempuhi sepanjang perjalanan ke puncak malah turut diuji dengan penyakit gunung akut (AMS) buat kali pertama.

“Kali keempat di sini (Gunung Kinabalu), pertama kali kena AMS. Beria buat video di atas ini di bawah pengaruh AMS dengan angin kencang.

“Alhamdulillah ahli rombongan dan pasukan bimbingan yang tak putus asa towing aku, akhirnya sampai juga. Macam mana cara nak sampai itu tak payah cerita, aib nanti,” jelasnya.

Di dalam video tersebut, Azhan yang sedang mengalami AMS kelihatan tidak berdaya dan lemah.

Sekadar info, AMS adalah keadaan di mana penderitanya mengalami gejala ringan seperti sakit kepala, loya selain pening, muntah, keletihan, kehilangan tenaga dan sesak nafas.

Sementara itu, Azhan turut berterima kasih kepada rakan kumpulannya yang membantu serta memberi semangat meneruskan pendakian sehingga ke puncak.

Berkongsi tentang perjalanan semasa turun, dia terpaksa melelapkan mata di sebalik batu bagi menstabilkan keadaannya yang lemah.

Namun, dia bersyukur AMS yang dialaminya bukan di tahap kronik.

“Masa nak turun imbangan AMS tidak habis lagi terpaksa tidur lima minit belakang batu hilangkan mabuk AMS ni. Memang tak kelakar langsung!

“Selepas bangun, badan dan otak dah rasa stabil macam orang baru dibebaskan dari pusat pemulihan. Cuba jalan perlahan-lahan ke check point di Sayat-Sayat. Makin turun makin okay.

“Selepas check point tiba dah boleh lari anak sampai Laban Rata. Begitu mengada-ngadanya AMS ni. Nasib dia bagi yang ringan kalau betul-betul hardcore entahlah,” ujarnya.

Selain itu, Azhan memberitahu cuaca kali ini juga memberi cabaran berlainan buat dirinya sehingga terpaksa menggunakan tiga lapis sarung tangan.

“Buat kali pertamanya juga di Kinabalu aku tempuh cuaca paling sejuk dengan angin jahat.

“Ingatkan aku sorang rasa macam itu tapi ada pendaki dari team aku yang dah sembilan kali ke sini pun cakap ini cuaca paling jahat pernah dia tempuh.

“Jari rasa macam tak ada darah, tiga lapis sarung tangan pakai,” katanya lagi.

Maya Basir