Bersalin Awal 21 Hari, Syifa Melvin Bersyukur Dengan Kehadiran Saif Sulaiman -“Semua Terjadi Secara Tiba-Tiba”

Selebriti yang juga pempengaruh media sosial, Syifa Melvin bersyukur dengan kehadiran cahaya mata sulungnya yang diberi nama Saif Sulaiman Muhammad Safawi yang dilahirkan di hospital swasta Johor Bahru pada jam 5.28 petang pada Sabtu.

Menurut Syifa menerusi perkongsian di Instagram Story, dia bersyukur kerana urusan bersalin dipermudahkan walaupun ia berlaku secara tiba-tiba.

“Alhamdulillah, thank you yang mendoakan. Tak terbalas semuanya. Semuanya terjadi secara tiba-tiba.

“Nanti ada tenaga kita cerita, selamat malam semua,” katanya.

Sementara itu, Syifa memaklumkan, tarikh bersalin anak lelaki sulungnya itu dijadulakan pada bulan Oktober, namun ia terjadi awal 21 hari dari tarikh sepatutnya.

“Ku sangka kan Oktober, ternyata awal 21 hari. Hujung September juga dia nak keluar. Alhamdulillah for everything,” jelasnya.

Terdahulu, Safawi yang juga pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim itu mengumumkan kehamilan isterinya seusai perlawanan pasukan kebangsaan menentang Kepulauan Solomon pada Jun lalu.

Sekadar info, Syifa atau nama penuhnya, Nur Syifa Atirah Amirul Melvin, 29 dan Muhammad Safawi Rashid, 26, mendirikan rumah tangga pada 28 November 2022 dalam satu majlis tertutup.

Salma Syahbuddin