Categories: HiburanTrending

Bersyukur Tersenarai Top 5 ABPBH 35, Hasil Kerja & Sokongan Peminat Lonjak Nama Meerqeen

Pelakon Meerqeen bersyukur apabila namanya tersenarai dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular BH 35 (ABPBH 35) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Tersenarai dalam kategori Aktor TV Popular dan Couple TV Popular bersama aktres Anna Jobling, gandingan mereka dalam naskhah fenomena Melur Untuk Firdaus juga melayakkan karya itu tercalon dalam kategori Drama Popular.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Tak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata rasa ini dan saya amat menghargainya. Biarpun baru sahaja bolos Top 5, saya rasakan ia pencapaian yang sangat membanggakan.

“Peminat dan keluarga menjadi tulang belakang saya untuk terus memacu kerjaya. Saya sayangkan mereka, jadi segala hasil kerja yang saya usahakan sekarang adalah untuk membalas sokongan yang mereka berikan.

“Penat lelah bekerja selama empat tahun dalam industri membuahkan hasil. Ramai mula mengenali jenama dan nama Meerqeen, jadi saya takkan sia-siakan peluang yang datang. Usaha tidak akan mengkhianati hasil,” katanya.

Tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk membawa pulang trofi, Meerqeen menyerahkan segalanya kepada ketentuan takdir.

“Melihat persaingan finalis lain, semuanya nama-nama besar. Aedy Ashraf, Ben Amir, Kamal Adli dan Redza Rosli, semuanya senior yang saya hormati dan segani. Berada dalam kelompok lima teratas bersama mereka pun sudah membuatkan saya rasa terharu.

“Kadang-kadang bila terfikir, ketar lutut pun ada. Saya pasti peminat akan berusaha sehabis baik untuk mengundi dan saya sangat hargai. Menang atau kalah, saya serahkan kepada ketentuan Allah,” katanya lagi.

Peminat boleh layari www.abpbh.com.my bagi meneliti senarai Top 5 atau finalis edisi ke-35.

Padin