[VIDEO] Penampilan Siti Nurhaliza Di Konsert Dimash Curi Tumpuan, Vokal Kembali Padu! – “Merdu Sangat Ni..Suara Makin Ringan”

Penampilan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada konsert penyanyi popular dari Kazakhstan, Dimash Qudaibergen, di Axiata Arena, Sabtu lalu mendapat perhatian ramai.

Siti yang tampil anggun mengenakan busana rona kuning lembut itu menjadi artis jemputan yang membuat persembahan pada konsert penyanyi yang cukup terkenal dengan vokal nada tinggi itu.

Menyampaikan dua buah lagu hitsnya iaitu Bukan Cinta Biasa dan Nirmala, ternyata Siti membuatkan kira-kira 6,000 penonton gembira dan puas.

Persembahan Siti pada malam tersebut turut mendapat perhatian warganet apabila tular di media sosial yang rata-ratanya terpukau dengan kehebatan vokal Siti.

Rata-rata peminat turut menyatakan lontaran vokal pelantun lagu Wajah Kekasih itu semakin pulih dan membaik selepas mengalami masalah vokal akibat kesan jangkitan COVID-19.

Lebih menarik, ada juga yang mengatakan vokal Siti seakan-akan vokal ketika 20 tahun yang lalu.

Menjengah ke profil Instagram (IG), Siti mengagumi kehebatan vokal Dimash malah berharap dapat bekerjasama lagi kelak.

“Saya mengkagumi vokal @kudaibergenov.dimash sejak mula menonton video beliau beberapa tahun lalu.

“Meski hanya muncul 2 lagu di pentas tetapi sebagai penyanyi, banyak yang dapat saya pelajari daripada vokal, lagu dan muzik Dimash. Anugerah yang tidak ternilai bagi beliau adalah kelebihan vokal yang sangat memukau.

“Saya berharap dapat berkerjasama lagi pada masa hadapan,” tulis Siti.

Khairil Khusyairi