Bertemakan ‘Hancur Aku’, Estranged Berhasrat Bawa Fazura Di Pentas Konsert ‘Apa Khabar Teman?’ Johor Bahru

Kumpulan rock terkenal, Estranged bakal mengadakan konsert buat julung kalinya setelah hampir beberapa tahun tidak ‘menggegarkan’ pentas di semenanjung Malaysia.

Lewat Konsert Estranged Apa Khabar Teman? kumpulan rock yang dianggotai oleh Rich (vokallis), Din (gitar) dan Hanafi (gitar) akan mengembalikan keghairahan peminat untuk menyaksikan persembahan mereka secara langsung.

Estranged ketika ditemui berkata, mereka bakal membawa beberapa artis undangan di konsert yang bakal berlangsung di Johor Bahru, Februari depan.

Menurut gitaris Estranged iaitu Din Hormotav berkata, mereka berhasrat mahu membawa selebriti dan penyanyi, Nur Fazura beraksi bersama di pentas tersebut.

Mempunyai duet bersama menerusi lagu berjudul ‘Hancur Aku’, Din berkata Fazura adalah salah seorang selebriti yang turut memberi impak dalam sebahagian daripada kerjaya karier mereka.

Malah lagu Hancur Aku itu pernah mencipta fenomena apabila menyertai program Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM) 31.

Bagaimanapun, Estranged masih belum dapat memutuskan sama ada Fazura bakal beraksi di konsert ini kerana hal tersebut masih dalam perbincangan bersama kedua-dua belah pihak.

“Kalau Fazura dapat sertai konsert ini pasti lebih meriah kerana dia juga termasuk dalam perjalanan karier kami tetapi kami masih belum dapat mengesahkan lagi perkara ini.

“Cuma kami berhasrat untuk membawa rakan-rakan dalam industri ke konsert itu, pasti ada,” katanya.

Bertemakan ‘Hancur Aku’ yang diambil dari hit lagu sama menerusi album Sepenuhnya Volume 1, Estranged memilih Persada Johor sebagai tempat utama untuk beraksi pada 3 Februari 2024 bagi mengubat kerinduan peminat.

Ditanya mengenai pemilihan negeri Johor itu, vokalis band Estranged iaitu Rich Gimbang berkata banyak rakyat kelahiran Sabah yang menduduki di negeri tersebut, sekaligus mahu memperkenalkan bunyian baru Estranged dan memperkasakan warisan budaya etnik Borneo.

“Kami juga sangat teruja untuk memperkenalkan instrumen-instrumen tradisional dan kebudayaan serta warisan etnik keluarga Borneo serta sahabat-sahabat barisan artis dari Sabah dan Sarawak,” tambahnya.

Tiket konsert Estranged Apa Khabar Teman? di Persada Johor  bakal dijual pada 27 November di Ticket2u bermula RM99 sehingga RM300.

Aqilah Paharuzi