Categories: HiburanSelebriti

Beto Kusyairy Sanggup Lakonkan Babak Tidak Berbaju Jika Ada Keperluan – “Tidaklah Sampai Buat Penonton Ghairah…”

Pelakon Beto Kusyairy memberitahu sanggup melakukan babak tidak berbaju sekiranya ada keperluan dan mempunyai alasan yang kukuh.

Menurutnya, dia terlebih dahulu akan meneliti kesesuaian sebuah naskhah sama ada relevan atau tidak bagi menyokong sesuatu babak.

“Saya tengok dahulu keperluan sesuatu babak. Tapi tidaklah sampai keterlaluan sehingga membuatkan penonton ghairah.

“Pengarah perlu berikan alasan kenapa memerlukan saya tidak berbaju. Jika alasannya kukuh dan tidak melanggar sensitiviti, saya akan bersikap profesional. Saya seorang pelakon,” katanya semasa ditemui di sidang media Super Wira di Pavillion Bukit Jalil, baru-baru ini.

Sementara itu, Beto tidak menganggap umur yang telah menjangkau angka 40-an menjadi penghalang jika pengarah minta untuk membina badan.

“Secara peribadi, saya lebih suka benda yang realistik. Kalau kena dengan karakter, saya tiada masalah untuk bina badan. Cuma, saya perlukan masa sebab ia melibatkan komitmen lagipun bina badan ni pergi gym tu hanya 10, 15 percent je selebihnya kena jaga makan tu.

“Bila sebut hero orang akan membayangkan badan tegap, sasa untuk orang percaya kepada kebolehannya. Bagi saya dari aspek visual perkara ini penting. Cuma dalam siri ini tak memerlukan hero seperti itu dan kami juga kesuntukan masa,” ujarnya yang memegang watak Kapten Gemilang di dalam drama siri terbaru, Super Wira.

Selain Beto, barisan pelakon lain yang membintangi drama tersebut ialah Nadhir Nasar, Idan Aedan, Mira Filzah, Zizan Razak, Ezzaty Abdullah dan Arena Wan.

Maya Basir