Beto Kusyairy Semakin Pulih, Syukur Rakan Konvoi Sudah Sedar

Pelakon Beto Kusyairy tampil berkongsi keadaan terkininya selepas terlibat dalam kemalangan motosikal ketika menyertai konvoi ke Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Menurut Beto, dia hanya mengalami cedera ringan dan bersyukur apabila seorang lagi peserta konvoi yang dilaporkan kritikal sudah sedarkan diri dalam kejadian di Kilometer 349 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara berhampiran Ladang Bikam itu.

Beto memaklumkan pada awalnya di cuba mengelak motosikal peserta konvoi berkenaan, namun dia gagal mengawal motosikal dan merempuh motosikal terbabit.

“Saya dimaklumkan dia mengalami kecederaan parah dan tidak sedarkan diri hampir seminggu. Namun, semalam dia sudah buka mata dan boleh duduk. Alhamdulillah.

“Saya pula tidak mengalami sebarang kecederaan teruk walaupun pada mulanya saya mensyaki ada bahagian anggota badan yang patah, tapi selepas menjalani ujian imbasan x-ray semuanya baik-baik saja. Cuma mengalami lebam di bahagian kiri badan,” katanya.

Terdahulu, Beto dilaporkan cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan ketika menyertai konvoi motosikal yang diketuai oleh Datuk Awie, Solidariti Wings Motogang Society ke Masjid Negeri Ipoh, Perak pada 13 November lalu.

Tidak serik untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson Road Glide itu, Beto memaklumkan dia hanya memberitahu isterinya mengenai kejadian itu selepas doktor mengesahkan tiada kecederaan serius.

“Waktu kejadian isteri saya baru saja tiba di Geneva, Switzerland atas urusan kerja. Dia beritahu pada waktu itu dia tidak sedap hati sehinggakan dia duduk di hentian bas selama dua jam dan termenung seorang diri dalam keadaan jantungnya berdegup laju.

“Masa itu saya memang tak beritahu dia sebab nak pastikan saya tiada apa-apa. Selepas saya maklumkan saja, dia terus nak balik Malaysia, tapi saya tenangkan dia dan beritahu saya okey.

“Pada awalnya saya agak bimbang dan takut jika berita ini sampai lebih awal daripada saya. Tapi Alhamdulillah saya dah yakinkan dia, saya baik-baik saja.

“Cuma ketika saya hubungi dia bimbang jika saya mengalami kecederaan di bahagian kepala. Mujurlah saya tergerak hati nak pakai topi keledar jenis bertutup penuh,” katanya.

Beto ditemui di majlis tayangan perdana filem magiK di TGV Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Walaupun belum sembuh sepenuhnya dan belum boleh berjalan seperti biasa, namun Beto tetap memberikan sepenuh komitmen demi mempromosikan filem terbitan 42nd Pictures Sdn Bhd itu.

“Saya jayakan filem ini kerana mahu bekerjasama dengan pengarah Yasu Tanaka. Tema filem ini juga sangat menarik kerana ia memaparkan kisah orang kurang upaya (OKU) pendengaran. Saya berharap filem ini mendapat sambutan yang baik kelak,” katanya.

Selain Beto, filem lakonan Nadia Aqilah, Qisya Hairulzain, Ruminah Sidek, Nam Ron dan ramai lagi bakal ditayangkan bermula 30 November 2023.

Fatin Nurain