“Bukan Nak Berahsia, Tapi…” – Syafiq Farhain Mengaku Sudah Ada Teman Istimewa

Penyanyi Syafiq Farhain atau nama sebenarnya, Nursyafiq Farhain A M Salim, 27, mengakui sudah mempunyai teman istimewa yang menghuni hatinya.

Namun begitu, anggota bomba ini enggan mengulas lebih lanjut mengenai gadis yang menjadi pilihannya.

“Sejujurnya, saya lebih selesa mengambil pendekatan untuk menjalani kehidupan bercinta itu secara relaks dan santai-santai sahaja.

“Saya bukan nak berahsia atau tak mahu beritahu, tapi saya lebih suka untuk relaks sahaja. Sebolehnya, saya sendiri tak mahu hebohkan atau bagi tahu orang yang saya sudah ada kekasih.

“Kalau ada orang yang tahu mengenai kekasih hati saya, biarlah dia tahu… Tetapi, saya tidaklah sampai tahap jangan beritahu orang lain. Tak semua perlu tahu soal peribadi dan saya sendiri tak mahu terlalu menghebahkannya. Biarlah saya ke hadapan bercerita perihal kerjaya,” katanya.

Syafiq ditemu bual di sidang media virtual pertandingan E-Sukan Mobile Legend: Anonymoz Merdeka Challenge baru-baru ini.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam program yang bakal diadakan pada 29 sehingga 31 Ogos ini, Syafiq sudah tidak sabar untuk menghiburkan peserta pertandingan terbabit.

“Semenjak pandemik melanda, memang tak ada tawaran buat persembahan. Apabila ditawarkan untuk menghiburkan peserta program ini, saya sangat teruja. Saya juga bermain permainan atas talian jika ada masa terluang jadi saya rasa dekat dengan mereka,” katanya lagi.

Selain Syafiq, turut terbabit dalam program itu ialah penyanyi Harry Khalifah.

Padin