“Ada Yang Tegur Kerana…” – Amir Masdi Selesa Dengan Rambut Panjang

Penyanyi yang popular dengan lagu Kau Sakiti, Amir Masdi, 25, mengakui dirinya selesa dengan imej berambut panjang.

Menurut Amir atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi, ramai peminat turut bersetuju dengan imej yang dibawanya sekarang.

“Ada yang tegur kerana ada perubahan ketara dan nampak lebih rock. Mungkin sebab penampilan dan rambut. Ini akan menjadi imej tetap saya dan saya selesa dengan imej ini. Ramai yang bersetuju juga.

“Malah, secara peribadi saya melihat imej ini paling sesuai untuk saya. Pada masa akan datang, tak pasti lagi. Kalau jumpa idea baru, ia akan bertukar. Tapi untuk sekarang saya akan kekal dengan imej ini. Saya okay dan gembira,” katanya.

Tampil dengan single baharu berjudul Esok bergenre modern rock, karya ini merupakan hasil ciptaannya sendiri bersama Shazee Ishak dan Audi Mok.

“Lirik lagu ini mengikut konsep dan idea daripada saya sendiri. Saya mahu sampaikan sesuatu yang boleh memotivasikan diri dan memberi semangat. Sebab sekarang semua orang berada dalam suasana suram akibat pandemik yang berpanjangan.

“Jadi, menerusi lirik lagu ini saya nak pujuk hati dan menenangkan orang. Shazee faham apa saya cuba sampaikan dan dia yang menulis liriknya. Saya pula tidak begitu mahir dalam penulisan lirik lagu, itu sebab saya minta tolong dia.

“Lagu Esok sudah disiapkan sejak awal tahun ini. Kebetulan saya juga ada beberapa lagu lain untuk dilancarkan sebagai single terbaharu. Malah, ikut perancangan asal nak keluarkan lagu yang muziknya lebih ‘up beat’. Tapi selepas berbincang dengan pasukan, semua sepakat untuk lancarkan lagu Esok dulu,” katanya.

Lagu Esok terbitan Nova Music dilancarkan pada 27 Ogos dan boleh mula distrim di semua platform muzik digital.

Padin