“Anak Belum Lahir Tapi Sudah Ada Rezeki Menanti” – Ayda Jebat & Nabil Mahir Bakal Timang Baby Girl

Pasangan selebriti Ayda Jebat dan Nabil Mahir yang sedang menanti kelahiran anak sulung bakal menerima kehadiran cahaya mata perempuan.

Perkara terbabit didedahkan oleh pasangan sejoli ini menerusi sidang media virtual dengan pihak media malam tadi.

Ayda dan Nabil juga turut mendedahkan perkara terbabit menerusi video pengumuman berdurasi lebih tujuh minit yang dimuat naik di laman YouTube mereka, Wuvvshow.

“Insya-Allah, kami bakal menimang cahaya mata perempuan. Keadaan Ayda dan kandungan baik-baik sahaja dan saya memohon doa semua pihak agar proses kelahiran dipermudahkan,” kata Nabil.

Tambah Ayda, dia bakal melahirkan anak sulungnya menerusi proses pembedahan.

“Saya sendiri mahu menjalani proses melahirkan anak secara pembedahan dan tidak mendapat halangan doktor. Jika ikut jangkaan, saya bakal melahirkan anak pada 8 Oktober, tetapi disebabkan saya mahu bersalin secara pembedahan, mungkin tarikh kelahiran itu dua minggu lebih awal,” katanya.

Ketika ditanya mengenai trend untuk membuka akaun media sosial dalam kalangan cahaya mata selebriti, Ayda dan Nabil menyambut positif perkara terbabit.

“Insya-Allah, mungkin akan ada akaun Instagram untuk cahaya mata kami. Biarpun belum lahir, sudah ada rezeki menanti. Sebenarnya, sudah ada jenama yang mendekati kami untuk berkolaborasi dengan anak yang bakal dilahirkan ini.

“Kami rasa sangat bersyukur tetapi buat masa sekarang, semuanya masih dalam proses perancangan dan belum ada kata putus. Apa yang penting, bayi yang dilahirkan baik-baik sahaja nanti,” kata Ayda.

Ayda dan Nabil selamat mendirikan rumah tangga pada 1 Januari lalu.

Padin