Bunga Isme Maklum Sudah Tunang Untuk Jaga Perilaku, Rancang Kahwin 3 Tahun Lagi – “Pendedahan Ini Menjadi Peringatan Agar…”

Penyanyi Bunga Isme menyifatkan tindakannya memaklumkan kepada umum telah bertunang dengan kekasih yang juga seorang penyanyi, Amzar Sabri sebagai tanda menghormati pasangannya.

Memetik laporan Utusan, Bunga atau nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari mengatakan tiada sebab untuk merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan umum.

“Kita kena kongsi perkara yang baik supaya ramai tahu saya sudah menjadi tunangan orang, sedang menjalinkan hubungan yang serius.

“Pendedahan ini juga menjadi peringatan buat diri sendiri agar jaga perilaku sebagai tunang orang,” katanya.

Untuk rekod, Bunga dan Amzar mengikat tali pertunangan selepas empat tahun bercinta.

Disoal tentang perancangan untuk berkahwin, Bunga dan pasangan masih belum memutuskan sebarang tarikh lagi.

Menurutnya, dia mahu membina kerjaya dan menetapkan hala tuju kehidupan sebelum mengakhiri zaman bujang.

“Saya juga masih lagi belajar. Selepas tamat pengajian, mahu kerja dahulu.

“Mungkin selepas tiga tahun (akan berkahwin), Insya-Allah. Itu adalah masa yang sangat sesuai memandang saya pada ketika itu sudah berusia 26 tahun,” ujarnya.

Maya Basir