“Cantik-Cantik Pun Kena Tinggal”- Bella Astillah Perjelas Kecantikan Bukan ‘Tiket’ Nikmati Kebahagiaan

Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mengaku kecantikan seseorang bukanlah ‘tiket’ untuk golongan wanita menikmati kebahagiaan dalam hubungan mahupun rumah tangga.

Menurut Bella, dia memilih untuk sentiasa kelihatan cantik demi membina keyakinan dirinya dan bukan untuk menunjuk-nunjuk.

“Kalau nak cakap pasal ‘dia ni cantik pun ramai je wanita dekati Aliff’ atau ‘cantik-cantik pun kena tinggal, kena curang dengan suami’… semua tu terpulang kepada individu masing-masing.

“Tapi, ada saja kawan rapat dan dia pun jenis tak bersiap, hanya jaga anak-anak dan buat kerja rumah, tapi suami dia tetap sayang. Jadi benda itu (kebahagiaan rumah tangga) tidak tertakluk pada kecantikan atau pun keperibadian seseorang melainkan ia lebih kepada membentuk keyakinan diri,” katanya.

Malah, pemilik nama Dayang Nabellah Awang Astillah, 29, berkata, wanita perlu kelihatan cantik untuk membentuk keyakinan diri kerana isu curang dalam hubungan rumah tangga tidak boleh dijangka.

“Masalah pasangan curang ini bukan hanya berlaku kepada selebriti saja, tapi mereka dalam karier lain juga. Apapun, semuanya berbalik kepada diri sendiri. Sama ada melayan atau tidak.

“Dan dalam soal curang ini, bukan terarah kepada lelaki saja. Wanita atau lelaki, dua-dua boleh curang. Cuma, untuk mengelaknya saya percaya jangan memberi ruang seperti kita bagi respons atau nampak okay,” jelasnya.

Terdahulu, Bella telah melancarkan single terbaharunya berjudul Tetap Di Sini dan lagu tersebut didedikasikan khas buat suaminya yang juga pelakon, Aliff Aziz.

Sebelum ini, Bella juga pernah mengejutkan ramai pihak apabila berkongsi hantaran mengenai ‘pelacur sukarela’ di Instagram miliknya, malah mendedahkan rumah tangganya sedang bergolak dek kerana diganggu oleh pihak ketiga.

 

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin