Tegur Isu Pendakwah Bantah Konsert, Baby Shima Didakwa Persendakan Hukum – “Tiada Niat Hina Agama, Mungkin Sebab Saya Tak Ada Title PU”

“Dakwaan mempersendakan agama adalah tuduhan berniat jahat dan fitnah.”

Demikian respons penyanyi Baby Shima mengenai dakwaan yang terpalit selepas dia memberikan komen terhadap Konsert Coldplay yang bakal diadakan dia Malaysia pada November ini.

Menurut penyanyi dangdut sensasi itu, dia hanya menyuarakan pendapat peribadi mengenai konsert itu yang dipertikaikan oleh sesetengah pihak.

“Saya sebut konsert secara umum. Konsert itu sebahagian daripada hiburan. Konsert Coldplay telah pun diluluskan oleh kerajaan. Di Malaysia ini pelbagai agama dan bangsa yang ada. Kita masyarakat majmuk.

“Berapa banyak konsert telah dianjurkan sejak negara kita merdeka. Pilihan atas diri dan pendapat masing-masing,” luahnya dalam sebuah kenyataan media.

Pemilik nama Nor Ashima Ramli ini juga menjelaskan, pendapat yang dilontarkan menerusi media sosialnya itu adalah atas kapasiti peribadi dan tidak berkaitan dengan isu mengeluarkan fatwa sendiri kerana apa yang disuarakan hanyalah pendapatnya sendiri sebagai individu.

“Saya bukan orang yang mempunyai latar belakang agama apatah lagi nak menghalalkan apa yang haram. Saya beritahu apa pendapat saya sahaja. Mungkin disebabkan saya tiada title PU (Pencetus Ummah), saya tak boleh suarakan pendapat?

“Adakah cuma yang ada title PU je yang boleh bercakap? Mana yang bab menghina agamanya? Namun tuduhan bahawa saya menghina agama, keluarkan fatwa, malah fatwa yang songsang adalah tuduhan yang berniat jahat dan fitnah.

“Saya cuma menggunakan hak saya dalam memberikan pendapat peribadi secara umum. Sekiranya tidak mahu ke konsert, tidak perlu ke konsert.

“Tiada keperluan menyerang saya membuta tuli. Janganlah kita rasa mulia dan semua artis itu pendosa. Kita semua pendosa.

“Alangkah baiknya jika pihak pihak ini boleh menghubungi saya sekiranya mereka tidak faham apa yang saya cuba sampaikan. Saya juga sudi dan bersedia menerima teguran bukan serangan tanpa usul periksa.

“Saya juga akan rujuk kepada pihak peguam , sekiranya perlu untuk ambil tindakan susulan,” tambahnya lagi.

Terdahulu kecoh apabila artis antarabangsa Coldplay akan mengadakan konsert di Kuala Lumpur, pada November ini.
Ia menimbulkan kontrovesi apabila ada pihak yang mendakwa kumpulan itu menyokong budaya songsang LGBT.

Baby Shima yang menyuarakan pendapat peribadi dalam media sosialnya itu ditegur oleh beberapa agamawan.

Tidak kurang juga berlakunya salah faham apabila sesetengah netizen mendakwa Shima mempersendakan agama.

Padin