Categories: HiburanTrending

“Tak Patut Hanya Marissa Sahaja Dipersalahkan” – Abby Abadi Mohon Doa Yang Baik-Baik

Pelakon Abby Abadi, 47, mempersoalkan tindakan warganet yang meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada kaum wanita berkaitan isu yang berlaku dalam poligami.

Biarpun anak perempuan Abby, Marissa Dania sudah melakukan kesilapan dan memilih untuk menjadi isteri kedua kepada Ahmad Aslam, aktres itu merasakan kesalahan terbabit tidak sepatutnya digalas anaknya sahaja.

“Saya tak rasa hanya dia (Marissa) seorang yang patut dipersalahkan. Kenapa orang hanya menuding jari kepada Marissa seolah-olah Aslam tiada salah langsung. Saya rasa macam pelik sangat. Mereka gelar anak saya ‘penyondol’, habis yang lelaki tidak bersalah ke?

“Pada saya masing-masing ada salah sendiri. Kita sendiri tidak tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga Aslam dan isteri pertamanya. Jadi lebih baik sekiranya kita mendoakan yang baik-baik,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ralat & Tak Percaya Anak Pilih Jadi Isteri Kedua… Abby Abadi Reda Terima Ujian

ARTIKEL BERKAITAN: “Aslam Bekerja Sebagai Pemandu E-Hailing, Buat Bisnes Sara Keluarga” – Abby Abadi Harap Anak Diberi Peluang Hidup Bahagia Bersama Suami & Madu

Abby berkongsi perkara itu ketika ditemui XTRA di Majlis Rumah Terbuka Wawa Nostalgia Raya di Wawa Cosmetics HQ, Bangi, Selangor pada malam Jumaat.

Pernah berhadapan dengan pengalaman bercerai ketika perkahwinan pertamanya kerana kehadiran orang ketiga, Abby mendedahkan dia tidak pernah menyalahkan isteri kepada bekas suaminya itu.

“Saya imbas semula sedikit, masa saya dengan bekas suami (Norman Hakim) dahulu, saya tak pernah salahkan Memey (isteri Norman) sebab tak tahu pun mereka berkawan sampailah satu kejadian yang membuatkan saya tahu. Masa tu saya tak salahkan Memey, saya salahkan Norman.

“Tetapi sekarang ini saya nampak orang lebih salahkan pihak perempuan. Sedangkan perkara ini berlaku membabitkan kedua-dua belah pihak. Perempuan dihentam bagaikan tiada hari esok.

“Saya rasa perkara ini kurang adil. Sampai anak saya cakap diri dia seorang ‘introvert’ pun orang marah. Sedangkan dia memang begitu.

“Cuma kini, selepas dia berumah tangga, dia lebih berani tampil ke hadapan mencari rezeki dengan menjadi model dan rebiu produk. Jangan disebabkan satu kesalahan, orang menidakkan perkara yang lain,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, nama Marissa menjadi bualan ramai apabila didakwa bernikah di Thailand dengan lelaki yang dikenali dengan nama Ahmad Aslam.

Perkahwinan Marissa dan Aslam didakwa berlangsung ketika isteri pertamanya, Umisya Mazlan sedang berada di Tanah Suci Makkah pada 27 Disember tahun lalu.

Padin