[VIDEO] “Salah Ke Aku Suruh Dia Melutut? Tak Sampai 40 Hari Anak Aku Dihina Muka Isap Batu, Dajj*l….” – Isteri Caprice Bengang

Isteri penyanyi rap, Caprice iaitu Farra Inalis meluahkan rasa kesal apabila ada segelintir netizen mempertikaikan tindakannya meminta individu lelaki yang pernah menghina anaknya itu untuk melutut memohon maaf di hadapannya.

Menerusi video dimuat naik di Instagram Story (IGs), Farra berkata sebagai seorang ibu hatinya tidak dapat menahan sabar apabila individu tersebut sanggup menggelarkan putera sulungnya sebagai haiwan.

Farra meminta ramai pihak di luar sana untuk meletakkan diri mereka di tempatnya bagi memahami bagaimanakah perasaan seorang ibu saat anaknya dicaci.

“Ramai rupanya netizen bercita-cita nak jadi ustaz dengan ustazah. Sebab itu ramai yang berceramah.

“Yang korang bising sangat fasal isu melutut itu, apalah sangat melutut dengan apa yang pernah dia cakap dekat anak aku.

“Aku nak satu benda je dekat korang, cuba letak tempat korang dekat tempat aku sekarang. Aku berjuang sehabis daya sampai nak putus nyawa beranak, bukan senang tau.

“Tak sampai 40 hari, senang-senang nak dajalkan anak aku. Cakap anak muka hisap batu, muka macam babi.

“Ibu mana boleh tahan, mana aku nak cari kesabaran aku. Setinggi mana iman kau.

“Kau boleh sabar macam mana kalau orang cakap anak kau macam itu. Masih dalam pantang lagi tau. Salah ke kalau aku minta melutut?,” katanya.

Sementara itu, Farra berkata setiap manusia mempunyai tahap kesabaran yang berbeza.

“Aku manusia. Sabar aku ada limit. Cukup baik dah melutut, ikut baran aku takut teringgal gigi dekat KL.

“Maaf ya kalau bahasa aku agak kasar. Bagi aku bertenang,” tulisnya lagi.

Sebelum ini, individu terbabit yang dikenali sebagai Irfan, 23, akhirnya bersemuka dengan Caprice dan isterinya, Farra untuk meminta maaf selepas menghina anak mereka, Airiel Qashaf.

Berdasarkan video permohonan maaf itu, Farra dalam keadaan emosi meminta individu tersebut melutut di hadapannya.

Terdahulu, seorang lelaki yang dikenali sebagai Irfan dibawa berjumpa dengan isteri Caprice, Farra Inalis untuk memohon maaf selepas mengeluarkan kata-kata hinaan kepada anak mereka.

Susulan itu, nama Farra menjadi perbualan di media sosial akibat tindakannya itu yang dianggap keterlaluan.

Sekadar info, Caprice dan Farra berkahwin pada November 2022 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Airiel Qashaf yang dilahirkan pada Mac lalu.

Hasil perkahwinan terdahulu, Farra mempunyai seorang cahaya mata perempuan bernama Aleesya Sofea.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Individu Hina Anak Sulung Caprice Akhirnya Tampil Bersemuka, Melutut Mohon Maaf Pada Farra Inalis 

Aqilah Paharuzi