Caprice Bengang Filem Mainkan Isu Agama Disiarkan, Minta Kementerian & JAKIM Ambil Tindakan Keras

Penyanyi rap sensasi, Caprice meluahkan rasa tidak puas hati dengan sebuah filem yang didakwa mengandungi unsur-unsur yang memainkan sentimen agama.

Menerusi hantaran di Instagram, Caprice mempersoalkan bagaimana filem tersebut boleh ditayangkan di sebuah platform penstriman.

“Kita hanya nak tahu bagaimana filem ini boleh diwar-warkan dan promosi dalam platform penstriman di Malaysia.

“Sebab filem ini ada satu babak di mana seorang ayah beritahu anaknya yang anaknya boleh pilih agama.

“Ini bukanlah kreativiti, keterbukaan atau liberalisme, ini namanya kufur,” tegas Caprice.

Lebih panas, Caprice meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap filem terbabit kerana terdapat unsur-unsur bertentangan dengan agama.

“Saya berharap pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Kementerian Komunikasi ambil tindakan keras kepada mereka semua ini sebab terang-terang mainkan isu agama,” jelasnya.

Untuk info, Mentega Terbang sebuah filem Indie pertama ditayangkan di platform penstriman Viu.

Filem itu ditayangkan pada 19 Januari lalu mengisahkan pencarian seorang remaja terhadap apakah yang akan berlaku selepas seseorang itu meninggal dunia. Mentega Terbang juga mengangkat topik agama dan kepercayaan.

Berdasarkan pemerhatian XTRA, banyak pihak turut menyuarakan isu ini malah mendesak pihak berkuasa mengharamkan filem Mentega Terbang kerana didakwa mempromosikan pluralisme.

Khairil Khusyairi