Cecah Puluhan Juta? Siti Nurhaliza Tampil Perjelas Spekulasi Kediaman Mewah Di Dubai

Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tampil menjelaskan spekulasi mengenai pembelian sebuah kediaman mewah di Dubai, baru-baru ini.

Ketika ditemui XTRA, Siti menafikan kediaman itu mencecah nilai puluhan juta ringgit.

“Semua orang ada impian dan itu (kediaman) merupakan antara impian saya. Saya anggap pembelian hartanah itu adalah sebagai satu pelaburan.

“Selain itu saya juga bercadang ingin menggembangkan perniagaan di Timur Tengah. Saya juga memang suka dengan Dubai kerana ia sebuah negara yang pesat membangun.

“Pun begitu, harganya tidaklah sebagaimana yang digembar-gemburkan. Saya belum mampu lagi capai tahap itu,”katanya.

Disoal mengapa memilih Dubai, Siti berkata, Timur Tengah merupakan salah satu lokasi strategik untuk memperkembangan perniagaan.

“Timur tengah salah satu pasaran yang pesat untuk saya cari peluang di sana. Lagi satu saya pilih kerana saya suka Dubai.

“Berkemungkinan satu hari nanti kerjaya saya akan berkembang di sana. Dubai juga salah satu negara Islam yang maju.

“Segala yang terbaik ada di sana. Selain saya suka dengan kepesatan dan pembangunan di sana,” tambahnya.

Disember lalu, Siti berkongsi momen dan suasana berada disebuah kediaman di Dubai ketika dia sedang bercuti bersama keluarganya di negara itu menerusi beberapa hantaran di Instagram Stories.

Asyraf Khalid turut meluahkan rasa bangganya dengan kejayaan yang telah dicapai oleh penyanyi tersohor tanah air itu menerusi sebuah perkongsian di Instagram.

Terdahulu, Siti ditemui pada majlis sambutan ulang tahunnya yang ke-44 dan penubuhan kelab peminat, Sitizoners yang ke-19, di Magica Banquet Hall, di sini, sebentar tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza Beli Rumah Di Dubai, Asyraf Khalid Luah Rasa Bangga – “Congrats, Mak Iti!”

Khairil Khusyairi