Categories: HiburanTrending

Cengkungnya Pipi, Dagu Pun Dah Runcing… Nadeera Didakwa Suntik Botox?

Penyanyi Nadeera menepis dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia melakukan prosedur ‘botox’ bagi mengubah bentuk asal wajahnya.

Pemilik nama sebenar Farah Nadeera Zaini itu tampil menjelaskan dirinya sudah berjaya menurunkan berat badan sehingga menyebabkan bentuk wajahnya kelihatan agak kecil dan dagunya lebih runcing berbanding sebelumnya.

“Kalau orang tuduh saya buat muka, masya-Allah, memang cantik betulkah? Gurau sahaja.

“Tak buat. Mungkin faktor penurunan berat badan yang mengubah sedikit bentuk muka saya.

“Berat saya turun, jadi agak runcing sikit tetapi muka saya masih lagi tembam,” katanya.

Memetik laporan Kosmo, juara Lagu Cinta Kita Musim Kedua itu mengaku sedang menjalani diet secara semula jadi dan berat badannya turun sebanyak 10 kilogram.

“Ya, saya diet secara sihat dengan mengamalkan senaman selama sebulan lebih dan turun sebanyak tujuh atau enam kilogram,” katanya.

Sebelum ini, pelantun lagu Emas itu pernah menerima kecaman berkaitan tubuh badannya yang gempal dan dia kemudiannya menjadikan kata-kata hinaan tersebut sebagai motivasi untuk mendapatkan bentuk badan yang lebih ideal.

“Dahulu orang cakap saya gemuk dan tidak cantik. Jadi, sekarang saya kurus apa salahnya,” ujarnya.

Bekas peserta Mentor Legend 2014 sebagai protege kepada Zainal Abidin itu bagaimanapun tidak kisah menjadi bahan kecaman netizen kerana dia lebih mahu memberikan fokus kepada kerjaya seninya.

Sumber : Kosmo

Syamir Shafie