Serik Kongsi Kisah Percintaan Dengan Dr Azra, Azri Iskandar Dituduh Gila Gara-Gara… – “Dia Tak Sporting”

Pelakon Azri Iskandar mendedahkan dirinya dimarahi rakan baiknya, Azhar Sulaiman dek kerana terlalu terbuka berkongsi kisah perhubungannya bersama kekasihnya, Dr Azra.

Gara-gara terlalu terbuka berkongsi kisah teman wanitanya yang dikenali sebagai Dr Azra hingga menjadi bahan perdebatan dalam media sosial, pelakon Azri Iskandar mendedahkan dimarahi rakan industri, Azhar Sulaiman.

Menurut Azri, Azhar melarangnya berbuat demikian kerana tidak mahu kisah percintaannya itu menjadi bahan perdebatan di media sosial sekali gus mengundang kecaman dalam kalangan netizen.

“Azhar marah dan tanya kenapa saya cerita soal sudah ada teman wanita kepada umum. Dia kata kalau sempat jumpa saya, dia takkan bagi saya bercakap (hal itu).

“Azhar hanya benarkan saya bercerita jika nak kahwin atau sudah berkahwin dengan Dr Azra. Dia larang sebab tak mahu saya kena kecam hanya kerana tidak mendedahkan gambar Dr Azra dan mendakwa wanita itu tidak wujud.

“Sedangkan, Dr Azra tak sporting dan tak nak sokong saya sebab enggan gambarnya keluar hingga saya dituduh gila.

“Azhar tak sanggup melihat saya seorang diri berdepan dengan situasi itu,” katanya.

Memetik laporan BH Online, bekas suami kepada pengarah dan pelakon, Ellie Suriaty itu tidak mahu lagi membicarakan soal peribadinya pada umum.

“Saya tak pasti sama ada saya masih lagi dengan Dr Azra. Selepas ini, saya sudah tidak mahu lagi bercerita soalnya.

“Lagipun, perkara ini akan sama sahaja. Netizen tetap akan mempertikaikan dan mengatakan saya gila dan berkahwin dengan orang bunian.

“Jadi, saya nak tutup buku, Saya tak nak kena marah dengan Azhar. Nanti saya dianggap degil,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azri memaklumkan dirinya tetap bersifat terbuka untuk mengumumkan berita gembira sekiranya sudah bertemu jodoh suatu hari nanti.

“Saya seorang yang terbuka dan kalau betul saya akan berkahwin, saya takkan sorok dan tetap akan undang media.

“Malah, ada stesen TV berjanji nak buat siaran langsung majlis perkahwinan saya,” katanya.

Terdahulu, Azri mendedahkan sudah bertunang dengan kekasihnya, Dr Azra di kediaman wanita itu, pada 29 Jun tahun lalu dan dikhabarkan sepatutnya berkahwin pada hujung tahun lalu.

Namun, Azri mengakui mula tawar hati terhadap Dr Azra memandangkan semakin kurang berhubung.

Sumber: BH Online

Fatin Nurain