Categories: Hiburan

Chaleeda Gilbert Lakar Nama di Malaysia

Melakar nama sebagai artis antarabangsa pertama menaungi label tempatan, Rocketfuel Entertainment, Chaleeda Gilbert, optimis memulakan langkah menerusi single, Mind Over Matter ciptaan penyanyi rap, SonaOne.

Gadis berdarah kacukan Thailand-Inggeris berusia 16 tahun itu berkata, sebelum menaungi Rocketfuel Entertainment, dia menerima pelbagai tawaran daripada syarikat rakaman lain terutama di negara kelahirannya.

Bagaimanapun, semua tawaran itu dilepaskan Chaleeda kerana mereka tidak memahami hala tujunya dalam muzik, selain tidak memberinya peluang meneroka bakat dengan bebas.

“Berbeza Rocketfuel Entertainment yang sentiasa menyokong usaha penggiat muzik muda seperti saya. Sebaik mereka membentangkan perancangan, saya tanpa bertangguh memberikan kata persetujuan kerana peluang ini sudah lama saya tunggu.

“Mereka juga memiliki tenaga kerja profesional dalam mengendalikan aktiviti seni, malah melayan saya seperti keluarga sendiri. Sokongan yang diberikan juga tidak berbelah-bahagi membuatkan saya tidak menyesal berada di sini,” katanya.

Bakat yang dicungkil menerusi YouTube ini terlebih dulu muncul dengan single dalam bahasa Thai, Ready For Love, kerjasamanya dengan penyanyi rap terkemuka Thailand, Twopee.

SGMS Enal