Cincin Di Jari Raih Perhatian, Kongsi Foto Sedondon Dengan ‘Suri Hati’… Zynakal Sudah Berkahwin?

Perkongsian terkini, penyanyi Zynakal yang lengkap memakai busana putih dipadankan dengan sampin dan songkok mencetuskan persoalan mengenai status dirinya.

Menerusi hantaran di Instagram Story (IGs) miliknya, Zynakal memuat naik foto bersama seorang wanita yang turut memakai busana berona putih sepadan.

Lebih menarik perhatian, wanita yang ditutupi matanya menunjuk cincin di jari manisnya seakan menandakan dia kini milik pelantun lagu Beli Jiwa itu.

Dalam muat naik lain, Zynakal juga dilihat sudah memakai cincin dan tersenyum seolah-olah tidak menyangka perkara indah itu berlaku.

Berdasarkan pemerhatian XTRA, Zynakal memilih untuk berkunci mulut dan hanya meninggalkan komen emoji merah hati di ruangan komen portal hiburan Melodi yang berkongsi foto tersebut.

Dalam foto berkenaan juga terdapat beberapa dulang hantaran menguatkan lagi bayangan mereka sudah ‘disatukan’.

Semasa artikel ini ditulis, masih tiada sebarang respons daripada pihak Zynakal sendiri sama ada dirinya sudah bernikah atau hanya bertunang.

Artikel Berkaitan: Halalkan Wang Dikebas, Zynakal Berhati-Hati Pilih Kawan – “Jika Ikutkan, Kerugian Hampir Cecah RM200,000”

Aqilah Paharuzi